KERAJAAN memberi peruntukan khas bagi memperkasa Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) bagi menangani isu keganasan rumah tangga. Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, selain peruntukan khas berjumlah 13 juta itu, Bahagian D11 akan menerima 100 penjawatan baharu. "Kita harus akui pada tangan suri kita, tersemat keringat yang menghayun buaian, yang memupuk dan sama menyumbang kepada kehidupan. "Namun, kadangkala ada pula tangan-tangan lain yang tidak mengerti perjuangan seorang ibu, isteri, dan puteri sehingga tergamak berkelakuan tidak manusiawi. Ini tidak sepatutnya berlaku. "Oleh itu, dalam perjuangan menoktahkan kerakusan ini, Kerajaan bersedia untuk memperuntukkan RM13 juta khas untuk memperkasa Bahagian D11 Polis Diraja Malaysia bagi Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak, termasuk pewujudan 100 perjawatan baharu," katanya ketika mengumumkan Bajet 2022 pada jumaat. Selain itu Zafrul berkata, program kesedaran komuniti berhubung keganasan terhadap wanita di seluruh negara melalui Skuad Waja akan dilaksanakan. Kerajaan juga akan menambah Pusat Sokongan Sosial setempat serta bekerjasama dengan NGO untuk meningkatkan bilangan Rumah Perlindungan Khas Wanita, bagi melindungi kebajikan mangsa keganasan rumah tangga pula. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI