suria

Suntikan RM1.6 bilion, pelepasan cukai sehingga RM1,000 untuk pelancongan domestik

Pelepasan cukai untuk pelancongan domestik sehingga RM1,000 dilanjutkan.

PELEPASAN khas cukai pendapatan untuk individu yang melancong secara domestik akan dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022, umum Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

"Pelepasan khas cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan pelancongan domestik sehingga RM1,000 dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022.

"Kita harus menikmati keindahan serta kepelbagaian destinasi pelancongan daripada taman eko rimba di Taman Eko Rimba Bukit Ayer di Perlis, warisan bersejarah di Kota A Famosa Melaka, Pantai Teluk Cempedak di Pahang, Kampung Budaya di Kota Kinabalu dan Gunung Santubong di Sarawak," katanya dalam perutusan Bajet 2022 pada Jumaat.

Zafrul berkata sektor pelancongan merupakan industri yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 terutama sekali akibat daripada penutupan pintu sempadan antarabangsa.

Justeru itu kerajaan memperkenalkan tujuh inisiatif utama yang bernilai RM1.6 bilion.

Antaranya, kerajaan akan meneruskan inisiatif Program Subsidi Upah bersasar khusus kepada pengusaha pelancongan yang mengalami penurunan pendapatan sekurang-kurangnya 30 peratus.

Dengan peruntukan sebanyak RM600 juta ini, inisiatif ini bakal memanfaatkan lebih 26,000 majikan dan 330,000 pekerja.

Lebih 20,000 pengusaha pelancongan yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya juga akan menerima bantuan khas untuk tempoh tiga bulan dengan peruntukan RM85 juta.

Selain itu kerajaan juga memperuntukkan RM50 juta untuk penyelenggaraan infrastruktur pelancongan termasuk Bangunan Sultan Abdul Samad serta Lembah Bujang di Kedah.

Peruntukan RM60 juta juga disediakan untuk aktiviti promosi serta galakan pelancongan domestik.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain