KERAJAAN akan meneruskan pemberian Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) kepada pencarum dan bukan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 di Parlimen, petang Jumaat. Dilaporkan, bagi bukan pencarum Perkeso, elaun tersebut turut ditawarkan kepada graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal yang mencari peluang pekerjaan baharu. Inisiatif tersebut diperkenalkan menerusi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Prihatin 2.0 atau SIP Prihatin 2.0. Untuk mendapatkan faedah SIP Prihatin 2.0 ini, pencari kerja perlu menghadiri sekurang-kurangnya enam temu duga dalam tempoh dua bulan bagi membolehkan mereka menerima EMP sebanyak RM300 sebulan. Bagi pencari kerja yang berjaya kembali bekerja dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh permohonan dikemukakan serta menghadiri sekurang-kurangnya satu temu duga, mereka layak untuk menerima RM400 secara sekaligus (one-off). Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI