KERAJAAN bercadang untuk melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 bagi bayaran yuran taska dan tadika sehingga tahun taksiran 2023. Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 berkata, cadangan lanjutan itu sebagai mengiktiraf wanita berkerjaya yang menguruskan anak-anak mereka ketika waktu bekerja. Selain itu katanya, bagi menambah baik sistem sokongan sedia ada buat kaum ibu berkerjaya, RM30 juta disediakan untuk menyediakan kemudahan taska di bangunan-bangunan kerajaan, terutamanya di hospital dan universiti awam. "Kerajaan juga menggalakkan majikan sektor swasta untuk pengaturan kerja fleksibel serta menyediakan kemudahan taska di pejabat. "Untuk itu, selain insentif cukai, kerajaan turut akan meminda garis panduan bagi membenarkan taska beroperasi di aras melebihi tingkat satu pejabat," katanya di Parlimen, petang Jumaat. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI