suria

Gempur habis-habisan... Bukit Aman jejak funder Ah Long!

Polis melancarkan operasi besar-besaran bagi menggempur sindiket Ah Long di Malaysia secara habis-habisan.

PIHAK polis kini dalam gerak kerja bagi menggempur sindiket Ah Long di Malaysia secara habis-habisan.

ARTIKEL BERKAITAN : [VIDEO] Awas! Ah Long makin ganas... 'godam' telefon peminjam, data peribadi umpan diugut

ARTIKEL BERKAITAN : Dibuang keluarga, dimalukan hingga reputasi tercalar... peritnya hidup mangsa aplikasi Ah Long

ARTIKEL BERKAITAN : Ah Long berselindung di sebalik keldai akaun, upah orang buat kerja kotor

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din dalam satu temubual eksklusif bersama mStar berkata, operasi besar-besaran akan diadakan secara berterusan bagi mengekang serta menghapuskan aktiviti Ah Long di seluruh negara.

“Kita dah mulakan operasi besar-besaran sejak dua bulan lalu (Julai) dan kita akan cuba kalau boleh hapuskan terus kumpulan Ah Long ni, terutama mereka yang menggunakan kekerasan, itu memang saya tidak akan berkompromi.

“Kalau ada Ah Long yang menggunakan keganasan, saya akan pastikan kumpulan ini tidak wujud lagi,” tegasnya.



Kamarudin berazam untuk hapuskan kumpulan Ah Long di Malaysia.

Ah Long punca kerugian 8 juta

Katanya, polis menerima hampir 2,000 laporan kes melibatkan Ah Long pada tahun 2020 sehingga Ogos tahun ini, melibatkan kerugian lebih lapan juta ringgit.

Menurut Kamarudin, fokus kini adalah bagi mengesan serta menahan funder atau pembiaya kepada sindiket Ah Long ini.

Kamarudin berkata, pelbagai usaha yang dilakukan Ah Long bagi melindungi diri mereka termasuklah menggunakan keldai akaun serta menggaji individu lain untuk melakukan khianat kepada harta benda peminjam serta memeras ugut mereka.

“Ini sedikit sebanyak menyukarkan kerja kita sebab kebanyakan yang kita dapat sekarang adalah operator atau orang tengah yang berurusan dengan peminjam.

Funder ini duduk di atas sekali dalam hierarchy, dia yang bagi duit, jadi kita nak kesan mereka ini,” katanya.

FotoJet (8)

Ah Long akan bayar orang lain untuk melakukan kerja mereka.

Sejumlah 765 individu yang terlibat dengan aktiviti Ah Long telah ditahan setakat ini manakal 1,071 lagi ditahan pada tahun 2020.

Kebanyakan yang ditangkap adalah warga tempatan.

Modus Operandi baharu

Menurut Kamarudin, antara modus operandi baharu yang digunakan Ah Long ini adalah dengan merekrut individu lain melalui media sosial untuk mengancam peminjam yang gagal menjelaskan pembayaran.

“Sejak dua tahun ini kita lihat modus operandi terbaharu Ah Long ini adalah mereka akan iklankan dalam media sosial untuk mencari sesiapa yang ingin bekerja dengan mereka untuk tolong ancam peminjam, taktik ini dulu Ah Long Singapura yang guna.

“Jadi gangster-gangster akan ambil job ni, bila tugasan selesai mereka akan dapat bayaran secara dalam talian tapi mereka kena ada bukti, gambar atau video perlu dihantar kepada Ah Long terbabit.

“Mereka ini tak pernah jumpa pun dengan Ah Long, bila kita tangkap dan siasat mereka tak kenal pun siapa yang bayar,” katanya.



Ah Long merekrut individu lain untuk melakukan perbuatan khianat ke atas peminjam yang gagal membayar hutang.

Keldai akaun elak dikesan

Sindiket Ah Long ini juga dikesan menggunakan keldai akaun untuk sebarang transaksi pembayaran.

Selain menyukarkan usaha pihak polis mengesan, tindakan mereka ini juga mengakibatkan individu lain terpaksa menanggung akibat daripada jenayah yang mereka lakukan.

“Kadang-kadang kita terpaksa tuduh pemilik keldai akaun sebab kemasukan duit itu banyak, maksudnya berulang kali akaun tersebut digunakan dan pemilik akaun ini langsung tidak ambil kisah.

“Sepatutnya dia tutuplah akaun bila dapat tahu, bila pihak bank telefon beritahu yang akaun dia digunakan (untuk kegiatan Ah Long), dia perlu ambil tindakan, jangan biarkan akaun tersebut terus digunakan orang lain,” tegasnya.

Bila kita tuduh di mahkamah mereka kata tak adil sebab itu bukan jatuh hukum, tapi sebenarnya tuduh di mahkamah itu maksudnya proses keadilan sedang berlaku bagi dia, kalau kita terus masukkan dia dalam penjara itu baru tidak adil.

DATUK MOHD KAMARUDIN MD DIN

Pengarah CCID Bukit Aman

Siasat keldai akaun dan kenalpasti dalang sebenar

Kamarudin bagaimanapun menyangkal dakwaan bahawa langkah mendakwa keldai akaun ini adalah satu tindakan yang kejam.

Katanya, keldai akaun yang ditahan berpeluang untuk membuktikan ketidakterlibatan mereka dengan jenayah tersebut dimahkamah.

“Bila kita tuduh di mahkamah mereka kata tak adil sebab itu bukan jatuh hukum, tapi sebenarnya tuduh di mahkamah itu maksudnya proses keadilan sedang berlaku bagi dia, kalau kita terus masukkan dia dalam penjara itu baru tidak adil.

“Jadi dia boleh beri keterangan di mahkamah, buktikan yang dia tidak menerima sebarang faedah daripada akaun terbabit dan hakim yang akan menentukan,” katanya.

Kamarudin bagaimanapun menjelaskan bahawa polis tidak hanya fokus kepada pemilik akaun yang menerima bayaran, sebaliknya siasatan akan diteruskan sehingga Ah Long yang bertanggungjawab diberkas.

“Sekarang kita bergantung pada bukti, kalau kita dapati bahawa keldai ini tidak terlibat dan dia ada justifikasi memang betul akaun tu digunakan dan kita dapati tidak ada sebarang faedah yang dia dapat maka kita akan cuba cari siapa sebenarnya yang menggunakan akaun tersebut.

“Sekarang ni kita tak cuba jalan pintas, kalau nak cuba jalan pintas senang je nak tutup IP (kertas siasatan) tuduh dia (keldai akaun) kita pun kata selesai tapi pada saya kita cubalah (bagi mencari dalang sebenar)," jelasnya.

Siasatan berdasarkan laporan awam dan tindakan proaktif Unit Risikan CCID

Menurut Kamarudin, kecanggihan teknologi pada masa kini bagaimanapun menyukarkan usaha pihak berkuasa mengesan sindiket ini.

“Kalau dulu mungkin kita boleh kesan melalui panggilan telefon mereka, tapi hari ini mereka tidak menggunakan panggilan biasa, mereka gunakan Wechat atau WhatsApp jadi agak sukar untuk kita kesan.

“Tapi itu bukan bermakna kita tidak boleh kesan, kita akan guna cara lain mungkin melalui money trail, kita cuma kena usaha lebih sedikit,” jelasnya.

Selain daripada laporan awam, pihak polis juga mengambil tindakan proaktif dengan melakukan siasatan sendiri melalui unit risikan CCID.

“Kalau tangkapan berdasarkan risikan kita sendiri ni memang ambil masa sebab kita nak kenal pasti jaringan sindiket terbabit dan sebagainya, kalau yang kita terima laporan dari mangsa ni kadang-kadang susah juga sebab mereka yang beri laporan tak nak beri kerjasama, tak pasti dengan maklumat yang diberikan dan kadangkala mereka beri maklumat tak lengkap.

“Kadang tu nombor telefon yang dia bagi tu tak wujud, atau didaftarkan atas nama yang tak wujud, pendatang asing ke dan bila kita check dengan imigresen nama tersebut tak wujud dalam sistem,” jelasnya.

Menurut Kamarudin, bagi kebanyakan kes, mereka bergantung kepada maklumat yang boleh diberikan oleh keldai akaun.

“Tapi mereka ni langsung tak tahu siapa Ah Long terbabit, mereka ini pun pinjam dengan Ah Long terbabit, kemudian Ah Long tersebut guna akaun dia untuk kutip duit daripada orang lain,” jelasnya.

Pemantau iklan Ah Long di platform terbuka

Menurut Kamaruddin polis sentiasa melakukan pemantauan di platform-platform terbuka (open sources) seperti media sosial dan aplikasi Play Store.

Iklan syarikat peminjam yang dijumpai akan dirujuk kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selaku badan yang mengeluarkan lesen bagi syarikat pinjaman bagi mengesahkan sama ada mereka peminjam berlesan atau Ah Long.



Antara iklan pinjaman yang ada di media sosial.

Setakat ini, katanya, 558 iklan Ah Long telah pun disekat.

“Kita akan rujuk iklan-iklan tersebut dengan pihak KPKT dan sekiranya mereka ini tidak ada lesen secara automatik kita tahu bahawa mereka ini Ah long.

“Jadi kita akan minta Facebook untuk turunkan iklan tersebut dan dalam masa sama kita akan hantar surat kepada syarikat telekomunikasi di Malaysia untuk minta mereka sekat iklan-iklan berkenaan.

“Sekiranya kita dapat maklumat lanjut daripada iklan-iklan terbabit, kita akan buat siasatan lanjut kemudian bahagian operasi (CCID) akan kesan dan buat tangkapan.” katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain