BARU-BARU ini kecoh tentang seorang wanita warga asing yang enggan memakai pelitup muka di sebuah pusat membeli belah di KLCC. Kini dia yang dikenali dengan nama Karen itu dikesan mengulangi adegan yang sama di sebuah pusat membeli belah di Bangsar. Rakaman pengguna Twitter @nabilaazzez yang mengesan kehadiran wanita itu sehingga kini mendapat lebih 80,000 jumlah tontonan. Ketika ditemubual Malay Mail, dia mengakui yakin wanita berbaju biru muda itu adalah individu sama yang telah mencetuskan kekecohan di media sosial di cawangan Dior KLCC pada Rabu. ARTIKEL BERKAITAN: Wanita warga asing nak masuk butik mewah tak pakai mask dikenal pasti, akan dipanggil polis untuk siasatan “Kali ini, dia mahu memasuki BSC (Bangsar Shopping Complex) tetapi dinafikan kerana tidak memakai topeng dan kelihatan seperti bertengkar dengan pengawal kira-kira pukul 10 pagi tadi. “Dia kemudian meninggalkan pintu masuk selepas selesai merakamnya. "Saya sempat merakam dia cuba memasuki pintu masuk BSC ketika sedang duduk di sebuah kafe Burrow KL, yang bertentangan dengan pintu masuk pusat beli-belah itu," katanya. Selepas kejadian di KLCC, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah memberi respons dengan memaklumkan pihaknya akan mendapatkan maklumat berhubung kejadian itu. Susulan kejadian terkini di Bangsar, orang ramai meminta menteri berkenaan supaya mengambil tindakan tegas terhadap wanita berkenaan. Pada Rabu, wanita itu dirakam bertengkar dengan kakitangan di KLCC yang menghalangnya memasuki cawangan Dior di situ kerana dia tidak memakai pelitup muka.