suria

Padah langgar SOP, ‘Karen’ dikompaun RM3,000

'Karen' dikenakan kompaun atas dua kesalahan yang setiap satunya berjumlah RM1,500.

WANITA warga asing yang membuat kecoh selepas enggan memakai pelitup muka di sebuah butik mewah di pusat beli-belah terkenal baru-baru ini dikenakan kompaun sebanyak RM3,000.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya sudah menyelesaikan siasatan kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) berhubung insiden berkenaan.

Katanya, notis kompaun dikeluarkan terhadap wanita itu pada Ahad (31 Oktober) kerana melanggar SOP.

ARTIKEL BERKAITAN: Berang dilarang masuk premis di KLCC kerana tak patuh SOP, wanita warga asing anggap pemakai mask semuanya komunis!

ARTIKEL BERKAITAN: Karen oh Karen! Selepas KLCC, dilihat bertengkar dengan pengawal keselamatan di Bangsar

Jelasnya, kompaun berjumlah RM3,000 itu telah dikeluarkan bagi dua kesalahan di mana setiap satu kesalahan berjumlah RM1,500.

"Kesalahan pertama ialah tidak mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan apabila gagal mendaftar masuk ke premis menggunakan aplikasi MySejahtera di kawasan capaian internet yang luas.

"Bagi kesalahan kedua ialah tidak mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan kerana gagal memakai pelitup muka ketika berada di dalam premis," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Polis turut mengesahkan wanita dalam video tular di sebuah kedai butik di Kuala Lumpur adalah wanita yang sama yang cuba memasuki pusat beli-belah di Bangsar tanpa memakai topeng.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor dipetik berkata polis telah mengenal pasti wanita itu dan sedang menyiasat kes itu.

Terdahulu, insiden kekecohan di butik mewah tersebut dirakam dan dimuat naik oleh pengguna Twitter @DFEfiercefun.

Dalam video tersebut, seorang wanita warga asing yang tidak memakai pelitup muka membuat aduan kepada kakitangan pusat beli-belah dan mendakwa pekerja butik mewah berkenaan menghalangnya ketika cuba memasuki premis. -THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain