suria

Kajian tunjukkan Ivermectin gagal cegah kemerosotan penyakit Covid-19, kesan sampingan 3 kali lebih kerap - KP Kesihatan

1181361

IVERMECTIN bukan sahaja tidak dapat mencegah penyakit Covid-19 untuk menjadi lebih serius, malah meningkatkan risiko kesan sampingan berbanding pesakit dengan penjagaan standard.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini merupakan antara hasil dapatan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) yang telah menjalankan kajian Ivermectin (I-TECH) ke atas 500 pesakit Covid-19 kategori 2 dan 3.

Jelasnya, matlamat utama kajian tersebut adalah untuk melihat sama ada pemberian ubat ivermectin pada minggu pertama dapat mencegah kemerosotan kepada tahap yang lebih teruk (kategori 4 atau 5) bagi pesakit berusia 50 tahun ke atas, dengan sekurang-kurangnya satu komorbiditi.

"Pengarah ICR Dr Kalaiarasu M. Peariasamy memaklumkan bahawa kajian I-TECH telah menunjukkan kadar kemerosotan penyakit Covid-19 kepada tahap teruk adalah sama di dalam kumpulan IVM jika dibandingkan dengan kumpulan SOC (standard of care), iaitu masing-masing pada 21.2 peratus dan 17.3 peratus.

"Bagi dapatan yang sama, purata tempoh kemerosotan adalah 3.0 hari bagi kumpulan IVM dibandingkan dengan 2.9 hari untuk kumpulan SOC, namun tiada perbezaan yang signifikan dari segi statistik," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, penyelidik utama kajian I-TECH, Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Dr Steven Lim Chee Loon memaklumkan bahawa tiada perbezaan ketara dari segi kemasukan ke ICU, penggunaan alat bantuan pernafasan mekanikal, pemulihan simptom, parameter ujian darah dan resolusi imbasan X-Ray dada di antara kedua-dua kumpulan tersebut.

Kebarangkalian untuk pulih dari gejala sepenuhnya pada hari ke-5 penyertaan di antara kumpulan IVM dengan SOC adalah hampir sama, di mana tiada perbezaan yang signifikan dari segi statistik, katanya.

Analisa keselamatan bagaimanapun melaporkan kejadian kesan sampingan tiga kali lebih kerap berlaku dalam kumpulan IVM berbanding kumpulan SOC, di mana kebanyakannya adalah kes cirit birit.

Dr Noor Hisham berkata, kajian tersebut turut mendapati adanya trend pengurangan mortaliti dalam tempoh 28 hari bagi kumpulan IVM berbanding dengan penjagaan standard namun trend pengurangan itu tidak mencapai keputusan statistik yang signifikan.

"Menurut Profesor Dr. Lai Nai Ming dan Profesor Madya Dr. Karuthan Chinna dari Taylor’s School of Medicine yang bertanggungjawab menyediakan analisis statistik secara bebas, kajian I-TECH tidak dapat mengesahkan dapatan bahawa penggunaan ivermectin di hospital dapat mengurangkan kematian dalam tempoh 28 hari, berbanding dengan penjagaan standard sahaja.

"Ini kerana jumlah kematian adalah amat kecil (13/490) dan ini seterusnya menyebabkan penilaian yang terhad ke atas hasil dapatan tersebut," jelasnya.

Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan hasil kajian I-TECH, ivermectin tidak disyorkan untuk dimasukkan ke dalam garis panduan rawatan Covid-19 sedia ada.

"KKM menyarankan agar ivermectin hanya digunakan dalam kajian klinikal dengan pemantauan.

"Keputusan I-TECH juga selari dengan kajian berskala besar seperti IVERCOR-COVID19 dari Argentina dan TOGETHER dari Brasil yang tidak menyokong penggunaan rutin ivermectin dalam amalan klinikal rawatan Covid-19.

"Pasukan kajian I-TECH bercadang menghantar data kajian tersebut untuk diterbitkan di dalam jurnal peer-reviewed bagi memberi maklumat tambahan kepada kajian-kajian ivermectin termasuklah meta-analysis," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Ivermectin, covid-19, hospital, rawatan, kajian

Artikel Lain