suria

Teo Nie Ching mohon maaf guna perkataan "lahabau" dalam kempen PRN Melaka

Teo mohon maaf kerana menggunakan perkataan "lahabau" tanpa memahami maknanya.

AHLI Parlimen Kulai Teo Nie Ching memohon maaf kerana meletakkan gambar di Facebook dengan perkataan "lahabau" (tidak berguna) tanpa memahami maksudnya.

Pada Isnin (8 Nov), Teo telah memuat naik gambar yang disertakan dengan perkataan "Lahabau Melaka, Jom Undi" dalam usaha untuk menunjukkan sokongannya terhadap pilihan raya negeri Melaka dan menggalakkan pengundi untuk mengundi.

Bagaimanapun, menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, "lahabau" bermaksud "tidak berguna" atau "tidak boleh dipercayai".

Teo berkata berikutan larangan berkempen yang ketat, hampir semua kempen untuk pilihan raya Melaka terpaksa dilakukan melalui media sosial dan ramai kakitangan Pakatan Harapan, khususnya dari DAP, kurang tidur dalam menyediakan bahan kempen.

“Namun, manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan termasuk diri saya sendiri.

“Disebabkan ini, berlaku kesilapan bahasa yang memalukan di media sosial. Saya hanya mahu berkempen melalui bingkai gambar percuma di Facebook tanpa memahami maksud perkataan itu.

"Dengan ini, saya dengan rendah diri memohon maaf atas kesilapan saya memuat naik bahan kempen menggunakan perkataan dan bahasa yang salah," katanya dalam catatan Facebook pada Isnin (8 Nov).

Beliau juga berjanji akan lebih berhati-hati apabila memuat naik bahan kempen di media sosial sempena pilihan raya negeri Melaka.

“Saya memohon maaf kepada semua terutama kepada rakyat dan pengundi Melaka,” katanya.

Pengundian awal bagi Pilihan Raya Melaka ditetapkan pada 16 Nov manakala hari pengundian pada 20 Nov. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

teo nie ching, lahabau, PRN Melaka, kempen

Artikel Lain