suria

Insiden berebut pam minyak... suspek pukul pemandu kereta dengan topi keledar direman 3 hari

Video seorang penunggang motosikal memukul pemandu kereta warga emas kerana berebut pam minyak menjadi tular di media sosial.

SEORANG lelaki telah ditahan kerana didakwa menyerang seorang warga emas menggunakan topi keledar di sebuah stesen minyak di ibu negara pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abd Shukor berkata polis telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut dan berjaya menahan suspek berusia 38 tahun pada hari yang sama.

"Suspek yang bekerja sebagai pemandu peribadi mempunyai satu rekod jenayah berkaitan dadah pada tahun 2010 dan masih dikehendaki polis bersabit kes tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu teksi maut bergaduh ketika isi NGV di stesen minyak

"Pihak polis juga telah merampas sebuah motosikal, topi keledar dan pakaian yang dipercayai digunakan suspek semasa serangan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad (14 November).

Dalam video berdurasi 43 saat yang tersebar di WhatsApp dan media sosial, kelihatan sebuah kereta dan motosikal berhenti di pam petrol yang sama.

Apabila kereta berkenaan terlebih dahulu memasuki petak di pam tersebut, penunggang motosikal berkenaan berasa tidak puas hati kerana dia juga mahu mengisi petrol di pam yang sama.

Kedua-dua lelaki dilihat berkomunikasi antara satu sama lain sebelum penunggang motosikal itu menghayunkan topi keledarnya ke arah kepala pemandu kereta.

Ketika pemandu kereta terjatuh, penunggang motosikal itu memakai topi keledarnya dan terus beredar dari tempat kejadian.

Amihizam berkata daripada keterangan suspek, dia mendakwa kereta itu memintasnya di pam minyak.

"Suspek yang berasa tidak puas hati kerana kereta mangsa mendahului motosikalnya kemudian bertindak memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar.

"Mangsa dalam kes ini merupakan seorang lelaki warga emas tempatan berumur 64 tahun telah menerima rawatan hospital dan dibenarkan keluar wad hari ini.

"Keterangan lanjut mangsa akan dirakam oleh polis apabila mangsa telah benar-benar pulih dan bersedia untuk beri keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

"Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata," tegasnya.

Suspek telah reman selama tiga hari hingga 16 November ini.

Amihisam meminta kerjasama saksi awam yang berada di tempat kejadian untuk memberi keterangan berkaitan insiden ini di balai polis berdekatan atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain