RAKAMAN memaparkan pengunjung Taman Tema Sunway Lagoon sedang berhibur menjadi bualan ramai di media sosial. Malah, timbul dakwaan berlakunya perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) khususnya dalam kawasan taman tema air (water park) berombak berdasarkan beberapa video yang dikongsi di TikTok dan Facebook. ARTIKEL BERKAITAN: Jadikan hari anda ‘Best Day Ever!’ dengan bergembira sambil berkhemah di Sunway Lagoon, keselamatan pengunjung jadi keutamaan Dalam perkembangan terbaharu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman berkata, jumlah kehadiran pengunjung dalam kejadian itu tidak melebihi had yang ditetapkan dalam SOP Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN). "Pihak pengurusan Sunway Lagoon memaklumkan, seramai 40,000 orang boleh dimuatkan dalam satu-satu masa manakala kapasiti mengikut SOP PPN Fasa 4 adalah seramai 20,000 orang. "Pada tarikh 6 November 2021, terdapat seramai lebih kurang 1,900 orang di dalam taman tema air berombak, manakala tempat tersebut boleh memuatkan seramai 10,000 orang dalam satu-satu masa dan masih di bawah jumlah yang dibenarkan mengikut SOP," ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin. Tambahnya, hasil perbincangan dengan pihak pengurusan Sunway Lagoon, taman tema tersebut dinasihatkan hanya menetapkan 1,000 orang dan ke bawah di dalam water park berombak pada satu-satu masa. "Pihak pengurusan Taman Tema Sunway Lagoon telah bersetuju dengan cadangan tersebut dan akan mengambil langkah-langkah yang bersesuaian bagi memastikan ia dilaksanakan," ujarnya lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI