SEORANG anggota tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang atas tuduhan menggunakan kekerasan dengan maksud mencabul. Tertuduh, Zynetlee Von Zim, 27, membuat pengakuat tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Maizan Rahim. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud mencabul kehormatan seorang gadis berusia 18 tahun iaitu memegang tangan kanan dan menghisap jari telunjuk mangsa. ARTIKEL BERKAITAN: Guru 52 tahun didakwa cabul calon SPM Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kedai vape di Taman Keramat di sini, pada jam 1.28 tengah hari, 5 Oktober lalu. Atas pertuduhan itu, Zynetlee yang juga bapa kepada seorang anak, didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan. Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ameera Sam Kamaruddin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000. "Pihak pendakwaan juga memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu saksi sepanjang perbicaraan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan," katanya. Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Adi Zulkarnain Zulkafli merayu agar kadar ikat jamin dikurangkan. Beliau juga tidak membantah syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan. Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Nur Maizan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tersebut. Namun disebabkan tertuduh tidak mempunyai pasport, mahkamah membatalkan syarat itu. Mahkamah menetapkan 12 Januari 2022 sebagai tarikh sebutan semula kes. Terdahulu, video anggota tentera itu yang dirakam menghisap jari pekerja di kedai vape bulan lalu, menjadi tular di media sosial. - SINAR HARIAN Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI