suria

Kertas siasatan Adun didakwa pukul isteri dirujuk ke Bukit Aman

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed. Foto: The Star

POLIS memaklumkan kertas siasatan melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Morib, Hasnul Baharuddin yang didakwa mencederakan bekas isterinya dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, kes itu kini sedang dikaji di Bukit Aman untuk tindakan lanjut di mahkamah.

"Kes tersebut telah dirujuk ke Bukit Aman untuk kajian dan mereka akan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan pertuduhan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada Jumaat.

Media baru-baru ini melaporkan Hasnul menafikan dakwaan yang dibuat oleh bekas isterinya itu.

Adun itu juga akan mengambil tindakan guaman terhadap sebuah portal yang didakwa menyiarkan laporan berat sebelah terhadapnya.

Menurut laporan berkenaan, kejadian tersebut berlaku pada 21 Ogos lalu di mana wanita terbabit mendakwa dia ditampar pada bahagian muka hingga menyebabkan bibirnya pecah ketika bekas suaminya itu memohon untuk berpoligami. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain