RAKYAT Sarawak akan turun ke peti undi bagi memilih kerajaan negeri baharu pada 18 Disember ini. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Sarawak (PRN) ke-12 adalah pada 6 Disember, dengan tempoh 12 hari berkempen. Dalam sidang media di Kuching pada Rabu, Abdul Ghani turut mengumumkan tarikh pengundian awal ditetapkan pada 14 Disember. ARTIKEL BERKAITAN: PRN Sarawak: Apai Nan 'Si Pencuri Hati' Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak dibubarkan pada 3 November berikutan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik perintah Darurat di seluruh negeri pada hari yang sama, sekaligus membuka laluan kepada pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari. Abdul Ghani berkata 82 pegawai pengurus pilihan raya telah dilantik untuk bertugas sewaktu pengundian, bersama 249 penolong pegawai pengurus pilihan raya. "Bagi tujuan memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh bekempen, kita akan menubuhkan 155 pasukan penguatkuasa. "Pasukan itu akan terdiri daripada anggota polis dan wakil daripada pihak berkuasa tempatan dan calon," katanya. Dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media, SPR berkata pilihan raya negeri itu dianggarkan menelan belanja RM150 juta. Seramai 46,565 petugas pilihan raya akan ditempatkan di pusat penamaan calon dan penjumlahan undi untuk 82 kerusi Dun. Sebanyak 1,866 pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,555 tempat mengundi/saluran dan 85 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 111 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan. "Pada hari pengundian, 346 pusat mengundi akan dibuka dari 7.30 pagi hingga 5 petang. Baki 1,520 akan dibuka mengikut masa yang diwartakan," kata SPR. Seramai 1,252,014 pengundi di negeri itu layak mengundi dalam pilihan raya berdasarkan daftar pemilih terkini setakat 2 November. - THE STAR Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI