RAKYAT sejahtera, keluarga bahagia. Itu aspirasi yang ingin dicapai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika memperkenalkan konsep "Keluarga Malaysia" pada Oktober baru-baru ini. "No one will be left behind" tegasnya. Justeru itu, setiap ahli jemaah menteri diberi mandat untuk melaporkan prestasi Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) kementerian masing-masing untuk dinilai seawal 100 hari pertama. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggariskan lima inisiatif sebagai indeks pencapaian 100 hari dan kesemua inisiatif ini telah mencapai sasaran dengan jayanya. Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata walaupun berdepan cabaran getir berikutan krisis kesihatan dan ekonomi yang melanda akibat pandemik Covid-19, KPWKM tetap cemerlang dalam menyampaikan perkhidmatan seterusnya membantu pembangunan golongan rentan yang terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak dan wanita. Katanya, lima AKM telah diangkat KPWKM yang meliputi kebajikan kumpulan sasar, aspek pembangunan dan perlindungan, pemeliharaan, pemulihan, pencegahan, khidmat sokongan, penyertaan, kelangsungan hidup, pembangunan kapasiti, advokasi dan kesedaran. Bagi mencapai aspirasi ini, lima inisiatif dirangka iaitu program MyDaftar OKU, Toll Free Helpline FamilyCare@LPPKN, Skuad Wanita Anti Jenayah (Skuad Waja), Wanita Bangkit@KPWKM dan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS). "Kita bukan sahaja mahu lihat pencapaian AKM yang cemerlang, lebih dari itu, kita hendak pastikan supaya setiap AKM yang dilaksanakan dapat memberi impak dan manfaat yang besar kepada kumpulan sasar. "Saya menitikberatkan pendekatan mengoptimumkan sumber dan memastikan pelaksanaan program dan aktiviti yang lebih bersasar. "Alhamdulillah pegawai-pegawai saya memahami misi dan visi yang ditetapkan dan ia diterjemahkan melalui langkah-langkah dan tindakan segera, pantas dan berimpak demi manfaat rakyat," katanya. Walaupun berdepan krisis ekonomi dan kesihatan, Rina berkata KPWKM tetap berjaya menyampaikan perkhidmatan kepada kumpulan sasaran dengan pantas dan berkesan. Misalnya, hasil usaha yang dilaksanakan itu, kata Rina, lebih 2,700 wanita telah berjaya menjana pendapatan sendiri hasil melalui program Wanita Bangkit@KPWKM. “Inisiatif ini membolehkan mereka menjana pendapatan melalui sektor formal iaitu dengan menghubungkan peluang pekerjaan kepada wanita dan juga dalam sektor informal iaitu mendekatkan wanita kepada platform dan peluang perniagaan atau keusahawanan. "Menerusi inisiatif ini, manfaat dapat diberikan kepada wanita terutamanya golongan suri rumah, B40, M40, wanita yang menjadi Ketua Isi Rumah (KIR) termasuk ibu tunggal mahupun wanita yang ingin membantu keluarga mencari pendapatan tambahan," katanya sambil menambah lebih 40 syarikat terlibat dalam menjayakan program ini. Rina (kiri sekali) cuba memasak daging burger sewaktu Majlis Kolaborasi Rakan Strategik Wanita Bangkit KPWKM di Eco Industrial Park, Puncak Alam. Di bawah inisiatif ini juga, sebuah microsite telah dilancarkan pada 1 November lalu iaitu https://www.kpwkm.gov.my/WanitaBangkit, yang bertujuan untuk menyalurkan maklumat agensi serta syarikat yang menawarkan peluang kepada wanita untuk menjana pendapatan. Isu keretakan rumah tangga yang semakin membimbangkan, lebih-lebih lagi sejak berlakunya pandemik Covid-19 mendorong KPWKM untuk mewujudkan talian Tol Free Helpline FamilyCare bagi memberi bantuan khidmat nasihat secara dalam talian kepada golongan wanita. Dilancarkan pada 30 Oktober 2021, Rina berkata sejumlah 1,327 panggilan dan kes diterima agensi dibawah kementeriannya iaitu Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) - melebihi sasaran awal 1,111 panggilan. Rina (dua dari kiri) ketika gimik Pelancaran Talian Helpline Familycare@LPPKN pada Program Pemantapan Perkahwinan di Kompleks Sukan Datuk Keramat. Selain talian hotline, KPWKM juga aktif membantu golongan wanita, mangsa keganasan rumah tangga khususnya menerusi Skuad Waja ditubuhkan pada 8 Mac lepas. Setakat 31 Oktober ini, sebanyak 837 kes telah berjaya dibantu Skuad Waja antaranya melibatkan kes keganasan rumah tangga, isu kekeluargaan, undang-undang, perhubungan sosial, psikologi, gangguan seksual dan jenayah siber. Ahli Skuad Waja menjadi agen yang bertindak menangani keganasan terhadap wanita dalam komuniti. Jelasnya, setakat 11 November, keahlian Skuad Waja telah melebihi sasaran 100,000 yang ditetapkan. Selain itu menurut Rina, KPWKM juga berjaya meningkatkan jumlah pendaftaran kad OKU baharu yang dilengkapi ciri-ciri yang telah ditambahbaik. Sistem MyDaftar OKU ini, jelasnya amat penting bagi membolehkan kerajaan membuat perancangan teliti secara holistik dan menggubal dasar yang bersesuaian dengan keperluan OKU berdasarkan data-data yang tepat. Ia juga dapat memastikan tidak ada OKU yang tercicir daripada mendapat perhatian yang sewajarnya. “Sebanyak 2,350 permohonan pendaftaran kad OKU baharu telah diterima setakat 11 November, iaitu melebihi sasaran 2,000 yang ditetapkan,” katanya. Rina (tiga dari kanan) melihat aktiviti pembelajaran kanak-kanak autisme Irdina Sofia Mohd Azmir, 10, (duduk) pada Majlis Pelancaran MyDaftar OKU di Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) di Bukit Peringgit KPWKM juga berjaya membuka satu lagi premis PSSS dan empat truck mobile yang berperanan sebagai one-stop center buat kumpulan sasaran KPWKM seperti wanita, kanak-kanak, keluarga, warga emas dan OKU untuk mendapatkan perkhidmatan sosial yang holistik. Selain menerima aduan dan memberi intervensi awal, PSSS turut membantu mengurangkan tekanan mangsa dengan menyediakan sokongan emosi dan kaunseling serta bantuan kebajikan. Selain pejabat satelit di Kuala Lumpur, PSSS ada di Selangor, Johor dan Kelantan.Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI