KECOH di media sosial mengenai dakwaan rakyat digesa memakan itik sementara kerajaan mengkaji kenaikan harga ayam. "Kerajaan gesa pengguna makan itik dahulu sementara kerajaan terus mengkaji kenaikan harga ayam - menteri," demikian dakwaan menerusi posting di laman sosial dengan memaparkan foto Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Susulan dakwaan itu, Alexander menafikan sekeras-kerasnya kenyataan seperti di dalam gambar yang tular. "Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti ini yang tidak sensitif dan seperti mempersendakan rakyat yang sedang dalam kesusahan. "Sebagai seorang yang datang dari kawasan pedalaman di Kapit Sarawak, isu-isu seperti ini sememangnya amat dekat di hati saya dan bukanlah sesuatu yang boleh dipermainkan," tulisnya menerusi satu posting di halaman Facebook beliau, pada Rabu. Gambar yang tular di media sosial. Sehubungan itu, beliau dan warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) amat mengambil serius isu-isu kenaikan harga barangan yang menekan rakyat. "Sebagai menteri, tentunya saya sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian bagi isu seumpama ini. "Tetapi, usaha-usaha ini memerlukan sedikit masa kerana melibatkan pelbagai kementerian dan agensi lain sebelum kerajaan dapat memberikan satu penyelesaian yang memberikan manfaat kepada semua pihak yang terlibat," tambahnya. Alexander berkata, isu kenaikan harga barangan ini sememangnya membelenggu dunia, bukan sahaja Malaysia akibat kesan penularan wabak Covid-19 yang telah melumpuhkan aktiviti ekonomi. "Saya mohon kepada semua Keluarga Malaysia, janganlah kita mengeruhkan lagi keadaan dengan menyebarkan perkara-perkara berunsur fitnah seperti ini," ujar beliau. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!