SESI persekolahan secara bersemuka tetap akan diteruskan sehingga tamat penggal pada hujung minggu ini walaupun berlaku peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan pelajar, demikian menurut Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin. Beliau menjelaskan, peratus pelajar yang dijangkiti Covid-19 ketika ini masih kecil jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan pelajar. Menurutnya, kes aktif terkini yang direkodkan pada Sabtu adalah melebihi 200 kes daripada jumlah keseluruhan 4.5 juta pelajar. "Jadi kita perlu lihat bahawa dalam konteks kita bergerak ke fasa endemik, ini akan berlaku tetapi kita dengan SOP yang ada, kita cuba kawal supaya tidak berlaku lagi penularan lebih besar. "Insya-ALLAH sesi persekolahan akan berterusan hingga akhir penggal ini," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Akademi Sains Pendang di Jalan Jenun, Pendang, pada Ahad. Mengulas mengenai penutupan sesebuah sekolah, Mohd Radzi berkata, ia bergantung kepada penilaian risiko yang dibuat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). "Kalau ada cadangan penutupan daripada KKM, kita akan akur. Seperti dalam kes SSP (Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya), bila ramai pelajar terlibat dan guru dikuarantin, maka kapasiti sekolah itu sudah tidak ada, dan dalam konteks ini ramai jadi kontak rapat, maka KKM minta sekolah ini ditutup," katanya. Mengulas mengenai isu keciciran 21,316 pelajar sejak Mac 2020, Mohd Radzi berkata, masalah berkenaan dapat diatasi melalui sesi persekolahan secara bersemuka. "Dalam konteks sekarang ini, bila sekolah ditutup untuk tempoh panjang, walau PdPR (pengajaran dan pembelajaran di rumah) dilaksanakan, namun perasaan murid itu renggang dengan sistem persekolahan. "Sebab itu, walau ramai kata sekolah jangan dibuka dulu, tetapi kita sudah bincang bahawa amat penting sekolah dibuka supaya kita dapat meneliti apa intervensi perlu dilaksanakan supaya pelajar rapat dengan sistem persekolahan," katanya. - SINAR HARIAN Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI