suria

Suami murung selepas gerai ikan gulung tikar akibat pandemik Covid-19, ibu 3 anak percaya inisiatif Bajet 2022 mampu bantu keluarganya bangkit semula

Keluarga Rokiah mendapat perhatian beberapa NGO kerana terjejas teruk gara-gara pandemik Covid-19.

SEBAGAI seorang yang tergolong dalam kumpulan B40, Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Oktober lalu, begitu dinanti-nantikan oleh Rokiah Mat Din.

Rokiah yang kini meraih pendapatan dengan berniaga produk makanan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) di Kompleks Serambi Teruntum, Kuantan, Pahang benar-benar ingin tahu mengenai bantuan yang dihulurkan kerajaan daripada bajet ini yang bakal memberi manfaat kepada keluarganya.

Menurut Rokiah, dengan kehadiran pelancong yang tidak menentu gara-gara pandemik Covid-19, pendapatan bulanannya terjejas sama sekali.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami hilang kerja akibat pandemik, isteri beranikan diri jual ‘roti kampung’... Impikan bantuan Bajet 2022 nak besarkan bisnes

"Kehidupan keluarga saya ibarat jatuh tertiarap apabila Covid-19 melanda sejak tahun lepas. Di samping usaha berniaga kecil-kecilan untuk tampung belanja harian, saya benar-benar berharap adalah sedikit manfaat daripada Bajet 2022 untuk golongan seperti kami," ujar wanita berusia 54 tahun ini.

Berkongsi serba sedikit kisah keluarganya, Rokiah yang juga ibu kepada tiga anak berkata sebelum ini keluarganya boleh dikatakan mempunyai kehidupan yang selesa walaupun serba sederhana kerana dia dan suami berniaga ikan di pasar dekat Peramu hampir 20 tahun dan menjual produk makanan kecil-kecilan di Kompleks Serambi Teruntum.

ROKIAH 2

Pendapatan keluarga Rokiah hanya bergantung kepada bisnes kecil-kecilan produk PKS.

"Namun bila pandemik melanda, perniagaan ikan kami teruk kena tempias. Bila tak ada pendapatan, kami tak mampu lagi nak membayar sewa gerai ikan, jadi terpaksa tutup dan pulangkan kepada majlis perbandaran.

"Bukan sikit-sikit kesannya...suami saya berubah jadi murung sebab berniaga ikan dah sebati dengannya sejak remaja. Dalam masa yang sama, jualan produk makanan di Serambi Teruntum juga terjejas, sebab tak ada duit nak beli stok barang," ujarnya.

Rokiah kini 'mengambil alih' tugas sebagai ketua keluarga dan sedang meneliti segala bentuk bantuan kerajaan yang bakal dimanfaatkannya melalui Bajet 2020.

B40

Pelbagai insentif kerajaan yang terkandung dalam Bajet 2022 untuk golongan B40.

"Saya sebelum ini tidak pernah dapat bantuan tunai seperti golongan B40 lain dan kali ini saya percaya saya layak dibantu," katanya, kerana di bawah Bantuan Keluarga Malaysia, Rokiah dalam kategori penerima dengan pendapatan kurang daripada RM2,500.

Satu lagi insentif yang bakal dinikmati oleh keluarga B40 Rokiah di bawah bajet bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' ini ialah untuk anaknya yang bersekolah iaitu bantuan awal persekolahan sebanyak RM150 (yang bakal diberikan kepada 3 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM450 juta) dan untuk anak OKUnya, insentif tambahan Jaminkerja.

Atau jika anak kedua Rokiah berpeluang melanjutkan pelajaran, sepatutnya dia layak memperoleh bantuan PerantiSiswa, yang menyediakan peruntukan membeli tablet sebanyak RM450 juta bagi 600,000 penerima.

info-peranti-siswa

Insentif PerantiSiswa Keluarga Malaysia, di mana kerajaan akan membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar golongan B40 yang melanjutkan pelajaran ke IPT.

Berikut antara insentif yang diperuntukkan kerajaan bagi golongan B40 di bawah Bajet 2022:

1) Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang bakal memanfaatkan 9.6 juta penerima mengikut empat kategori berdasarkan pendapatan isi rumah masing-masing. Sebagai contoh, keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah RM2,500 ke bawah dan mempunyai tiga orang anak atau lebih, layak mendapat RM2,000.

2) MySalam adalah inisiatif kerajaan yang bertujuan menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada rakyat Malaysia di bawah kategori B40.

3) Program Baucar Perlindungan Tenang di mana setiap bantuan B40 layak menerima baucar RM75 sebagai bantuan kewangan untuk membeli produk Perlindungan Tenang termasuk takaful hayat dan kemalangan diri.

4) Subsidi Pembelian Kerusi Keselamatan di mana kerajaan mengumumkan pemberian subsidi sebanyak 50 peratus atau sehingga RM150 bagi pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak keluarga B40.

5) Kit Asas Kebersihan Wanita iaitu pemberian Kit asas kebersihan diri percuma setiap bulan kepada 130,000 remaja wanita golongan B40.

6) Bantuan Tunai Langsung dan Kebajikan JKM, di mana syarat kelayakan kebajikan untuk 4 kategori bantuan Jabatan Kebajikan utama dinaikkan daripada PGK 2016 RM980 kepada PGK Makanan 2019 iaitu RM1,169. Bantuan tersebut merangkumi bantuan kanak-kanak, bantuan warga emas, bantuan OKU tidak bekerja dan bantuan am persekutuan

7) Kerajaan meneruskan penyediaan bekalan susu harian di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dengan peruntukan RM400 juta.

8) Sebanyak RM80 juta telah diperuntukkan kerajaan untuk melaksanakan Program Kasih Suri Keluarga Malaysia bermula Januari 2022. Perkeso komited untuk melaksanakan inisiatif ini dan menyokong penuh keprihatinan kerajaan untuk melindungi nasib dan memperkasakan golongan wanita di negara ini khususnya golongan suri rumah.

Pelbagai program dan inisiatif yang ditawarkan di bawah Bajet 2022 ini terutama untuk keluarga B40 yang pastinya dapat membantu meringankan beban Rokiah serta keluarga B40 yang lain.

Rokiah sendiri mungkin boleh memohon pembiayaan usahawan wanita di bawah inisiatif Bajet 2022 yang memperuntukkan RM230 juta bagi pemohon meneruskan perniagaan.

"Saya berhasrat hendak pulihkan perniagaan saya,"katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain