suria

Debaran Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia makin terasa, macam-macam aktiviti ada... Proton X50 bakal jadi milik pengunjung bertuah!

Keluarga Malaysia lebih inklusif yang merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum. foto ZULAZHAR SHEBLEE/The Star

DEKAT di hati dan mesra rakyat, Keluarga Malaysia merupakan pengenalan satu frasa yang kini semakin sebati dalam jiwa rakyat Malaysia.

Konsep Keluarga Malaysia dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Ogos 2021 menerusi ucapan sulung beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik, seluruh warganegara ini bersama-sama berganding bahu membantu negara mengharungi krisis akibat pandemik Covid-19.

Ismail Sabri berkata, pendekatan Keluarga Malaysia digunakan kerana sifatnya lebih inklusif yang merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

Menurut beliau, konsep tersebut diambil kerana baginya, keutuhan negara terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

"Kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan sudah mengikat mereka semua," katanya.

Konsep Keluarga Malaysia berpaksikan kepada keluhuran Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Rukun Negara.

Tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran dijadikan sebagai nilai dalam konsep Keluarga Malaysia.

Kini debaran kian terasa menjelang program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) #KeluargaMalaysia yang dijadualkan berlangsung dari 9 Disember hingga 12 Disember ini.

Majlis perasmian bakal disempurnakan oleh perdana menteri sendiri pada 9 Disember ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di ibu negara.

Banyak aktiviti menarik sepanjang program AKM, jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi lebih 30 pameran pelbagai kementerian dan agensi serta karnival kerjaya dan program Jom Masuk IPT.

Turut menarik perhatian sepanjang program yang berlangsung selama empat hari dari pukul 9 pagi hingga 10 malam itu adalah persembahan kebudayaan dan kesenian, sukan rakyat, pameran dan jualan usahawan, galeri pencapaian kementerian, program bantuan serta sesi pemadanan perniagaan.

Antara yang dinanti-nantikan adalah Malam Aspirasi Seni, yang merupakan satu elemen berkonsepkan hiburan bagi memeriahkan lagi acara.

Persembahan khas daripada selebriti-selebriti terkenal tanah air seperti Hael Hussaini, Dayang Nurfaizah, Vince, Anuar Zain dan Jaclyn Victor sudah tentunya menarik lebih ramai pengunjung seisi keluarga untuk berhibur bersama.

Menerusi Keluarga Malaysia Esports Tournament, kejohanan e-sukan diadakan khusus buat pengikut Fifa dan Mobile Legends: Bang Bang dengan hadiah lumayan berupa wang tunai.

Selain itu, turut menjadi tumpuan adalah kaunter diskaun untuk orang ramai menikmati diskaun bagi pembayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah.

Banyak hadiah menarik ditawarkan untuk para pengunjung dari barangan elektrik, gajet, motosikal antaranya motosikal Yamaha LC, Modena Kriss, televisyen, laptop, tablet, telefon pintar, basikal sehingga hadiah utama kereta Proton X50!

Syarat-syarat untuk menyertai cabutan bertuah senang saja, dengan hanya perlu mendaftar di kaunter pendaftaran, Like, Follow dan Share Facebook page Keluarga Malaysia dan ambil gambar serta pos di Facebook dengan #KeluargaMalaysia dan komen positif.

Bagi mendapatkan hadiah yang menarik, pastikan anda turut mengimbas QR Code di booth kementerian, sekurang-kurangnya 10 booth di pameran yang berlangsung.

Paling penting, program AKM bakal menjadi simbolik kepada kemeriahan 100 Hari Aspirasi Keluarga yang pastinya menjadi satu penanda aras yang cemerlang bagi program-program seterusnya pada masa akan datang.

Maklumat lanjut, boleh layari laman web www.keluargamalaysia.gov.my

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain