MAHKAMAH Rayuan hari ini mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara ke atas bekas perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana milik SRC International Sdn Bhd (SRC). Najib disabit dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana syarikat tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: Kes seleweng dana SRC, nasib Najib bakal diketahui esok Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Abdul Karim Abdul Rahman bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang mana mereka mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang diputuskan pada 28 Julai 2020 lalu. "Kami menolak rayuan atas kesemua tujuh pertuduhan dan mengesahkan sabitan itu," katanya dalam keputusan sebulat suara pada Rabu. Untuk rekod, Najib menghadapi tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. Ketujuh-tujuh pertuduhan itu adalah - tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana SRC. SRC International adalah bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletak di bawah Kementerian Kewangan. Pada 17 Oktober 2020, Najib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes pecah amanah dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun bagi kes penyalahgunaan kedudukan. Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak. Mahkamah kemudian membenarkan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan dengan ikat jamin sebanyak RM2 juta berserta dua penjamin.Dalam pada itu, peguam bela Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa mereka akan membuat merayu keputusan hari ini.Dia kini mengemukakan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Persekutuan. - The Star. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI