suria

Berita baik! Golongan OKU dapat peluang kedua kembali ke alam pekerjaan

Lebih 200 OKU mencuba nasib untuk kembali bekerja semula.

USIANYA masih muda, namun kemalangan yang menimpa dirinya sewaktu pulang dari tempat kerja meragut keupayaannya untuk bergerak seperti manusia normal.

Keadaan dirinya yang lumpuh separuh badan dari dada sehingga ke kaki itu membuatkan Muhammad Arif Iqram Karim hampir berputus asa.

"Saya tak tahu macam mana nak teruskan hidup dalam keadaan macam tu," katanya.

Namun, berkat kesabaran dan usahanya untuk mengikuti sesi fisioterapi di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak, Melaka, Muhammad Arif kini mampu berdiri malah menyertai rakan-rakannya yang lain untuk mencari peluang pekerjaan di Karnival Kerjaya Orang Kurang Upaya (OKU) yang diadakan di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Bercakap kepada mStar, anak muda berusia 20 tahun yang menetap di Durian Tunggal, Melaka berkata, dia berhasrat untuk menimba pengalaman serta mencari peluang kedua untuk dirinya kembali semula bekerja.

"Dulu lepas STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) saya kerja sementara dekat KFC tapi dalam bulan Januari awal tahun ini saya kemalangan motosikal dan sejak tu mengalami lumpuh.

"Jadi hari ini harapan saya adalah untuk cari pengalaman dan peluang untuk kembali bekerja seperti biasa, tadi saya interview di Old Town Kopitiam, lepas ni saya nak cuba booth-booth lain pula.

"Saya harap boleh dapat kerja yang sesuai dengan keadaan diri saya," katanya yang berhasrat untuk menceburi bidang pentadbiran.

"Bagi saya karnival seperti ini bagus sebab ia membuatkan kami rasa tidak tercicir walaupun dalam keadaan kurang upaya," katanya.

Muhammad Arif hadir ke Karnival Kerjaya OKU bersama ibunya, Munirah Othman dan ditemani juga oleh Pengurus Kes Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak,Melaka, Abd Khaliq Basiran.



Muhammad Arif hadir ke Karnival Kerjaya OKU bersama ibunya, Munirah Othman dan ditemani juga oleh Pengurus Kes Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak,Melaka, Abd Khaliq Basiran.

Selain itu, tindakan Azdura Abbas yang sering mengambil cuti sakit selepas kecelakaan yang menimpanya ditempat kerja menyebabkan wanita ini akhirnya dibuang kerja.

Akibatnya, wanita berusia 41 tahun ini sudah setahun menjalani kehidupan sebagai penganggur.

Ditemui di karnival yang sama, Azdura yang juga hadir bersama rombongan dari Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak berkata, dia sangat risau memikirkan nasib keluarga apabila dia kehilangan punca pendapatan.

"Dulu saya bekerja sebagai admin clerk tapi diberhentikan beberapa sebab antaranya Perintah Kawalan Pergerakan dan keduanya kerana saya kerap ambil MC kerana masalah sakit tulang belakang.

"Tulang belakang saya sebenarnya retak dan ada bahagian yang pecah sebab saya terjatuh di pejabat pada tahun 2020," katanya yang menetap di Batu Pahat, Johor.

Ibu tiga anak ini berharap dia diberi peluang baharu untuk kembali bekerja bagi membantu suaminya menguruskan keluarga mereka.

"Bila ada karnival macam ni baru kita nampak peluang tu, majikan mana yang sudi nak bantu orang-orang yang macam akak yang mempunyai sedikit kurang upaya untuk mencari kerja-kerja yang sesuai.

"Sebelum ni masa mengganggur akak ada cuba cari kerja, ada pergi interview empat kali macam tu tapi belum ada rezeki.

"Akak harap kali ni ada la rezeki akak untuk bekerja seperti dulu bagi bantu keluarga," katanya yang menjalani temu duga dengan Mcdonalds, Old Town White Coffee dan Aeon Sdn Bhd.



Azdura sebelum ini diberhentikan kerja kerana sering mengambil cuti sakit akibat sakit belakang yang dialaminya.

Sementara itu bagi pihak majikan pula, karnival yang diadakan memberi peluang untuk membantu golongan OKU untuk berdikari serta mampu mencari sumber pendapatan.

Pengurus Mcdonalds Bukit Rahman Putra Sungai Buloh di Selangor, Raja Munira Raja Ahmad Putra berkata, karnival yang diadakan dapat menarik golongan OKU untuk tampil mencuba bidang pekerjaan yang bersesuaian dengan mereka.

"Kami sendiri tak sangka ramai rupa-rupanya OKU tapi mungkin selama ini mereka tak tampil untuk menawarkan diri, mungkin tak berani nak walk-in dan sebagainya.

"Tapi macam kami, Mcdonalds memang ada ambil OKU ada yang dah lama bekerja dengan kami, ada yang baru ambil. Hari ini target kami adalah untuk dapat dalam lima orang, so far kita dah ada lebih kurang 10 individu yang tampil untuk ditemuduga," katanya.

Raja Munira (depan sekali) berkata, karnival yang diadakan dapat tarik perhatian golongan OKU yang mungkin malu untuk walk-in ke premis yang ingin mereka cuba.

Berpengalaman bekerja dengan golongan ini, Raja Munira malah memuji mereka yang dikata rajin melebihi sesetengah individu normal.

"Dari segi kerja mereka memang okay, lepas tu mereka jarang MC berbanding dengan sesetengah pekerja normal," katanya, menambah bahawa Mcdonalds sentiasa membuka ruang buat individu cacat pendengaran dan bisu yang ingin bekerja dengan mereka.

Seorang lagi majikan yang turut sama membuka peluang untuk golongan OKU mencari kerja adalah Marine Pheng, dari bahagian Sumber Manusia dan Latihan, Padini Group of Companies.

Katanya, syarikat berkenaan sudah lama mencari individu OKU yang sesuai untuk digajikan di premis mereka.

"Ini adalah salah satu cara kami menyumbang kembali kepada masyarakat, malah di Padini nilai utama yang kami sentiasa tekankan adalah untuk mengambil berat dari hati atau "caring from the heart" jadi kami tidak mahu sekadar mewarwarkan pada orang, tapi kami ingin buktikan dengan perbuatan.

"Sejak dua tahun lepas kami telah memulakan usaha melalui Tanggungjawab Sosial Korporat syarikat di mana kami telah berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan NGO bagi mencari golongan OKU namun agak sukar untuk mendapat pekerja yang sesuai.

"Justeru itu harapan saya adalah kami dapat mencari golongan OKU yang bersesuaian untuk menjadi sebahagian daripada pasukan kami," katanya sambil menambah setakat ini mereka mempunyai sekitar 10 individu OKU yang bekerja dengan Padini di Lembah Klang.



Pheng (wanita baju hitam) berkata, mereka sudah lama cuba untuk mencari golongan OKU yang sesuai untuk bekerja di Padini.

Memfokuskan kepada golongan bisu dan cacat pendengaran, menurut Pheng, antara tugas atau tanggungjawab yang akan diberikan adalah untuk membantu melipat, mengosok pakaian dan membantu menguruskan stok.

Selain Padini dan Mcdonalds, terdapat 14 lagi majikan yang turut mengambil bahagian dalam karnival ini atanranya, HDTEC Energy Sdn Bhd, FMJ Synergy Sdn Bhd, Lulu Group Sdn Bhd, Teleperformance Malaysia Sdn Bhd, Aeon Sdn Bhd, Old Town Kopitiam dan banyak lagi.



Saravanan beramah mesra dengan golongan OKU yang hadir untuk mencari peluang pekerjaan.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan yang merasmikan program tersebut berkata, seramai 217 orang telah menghadiri temuduga, 82 daripada mereka berjaya diterima manakala 31 orang lagi berjaya ke temuduga kedua.

Dia turut meminta pihak Perkeso untuk meluaskan lagi karnival tersebut pada masa depan dengan mengadakannya di negeri-negeri lain serta memfokuskan juga kepada golongan yang berusia lebih 40 tahun yang telah kehilangan punca pendapatan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berikut

Artikel Lain