suria

Nahas treler: Bapa banyak kali telefon mangsa, akhirnya bomba jawab maklum anak mungkin sudah tiada

Rolex Shapiai ketika ditemui di Hospital Shah Alam pada Sabtu.

SEORANG bapa terkejut apabila suara individu lain yang menjawab telefon bimbit milik anaknya.

Lebih menyedihkan apabila individu berkenaan yang memperkenalkan dirinya sebagai anggota bomba memaklumkan bahawa anaknya, Muhamad Rahimi Rolex, 27, mungkin terkorban akibat kemalangan di Kilometer 8.3 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam awal pagi Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN : Nahas treler: Bapa banyak kali telefon mangsa, akhirnya bomba jawab maklum anak mungkin sudah tiada

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu kereta Proton Wira didakwa sedang hidupkan bateri kereta di lorong kecemasan apabila dirempuh traler

"Saya cuba menghubungi dia beberapa kali tetapi tidak dapat, saya tidak sedap hati," kata bapa Rahimi, Rolex Shapiai, 53.

Katanya, ketika kejadian, dia berasa tidak sedap hati berikutan anaknya itu masih tidak pulang dari kerja.

Jelasnya, kebiasaannya jam 12 tengah malam anaknya yang bekerja sebagai mekanik itu sudah berada di rumah.

"Saya cuba menghubungi beberapa kali tetapi tidak dapat. Saya tidak sedap hati. Selang beberapa minit kemudian saya telefon lagi dan kali ini dijawab oleh seseorang yang tidak dikenali.

"Kemudian dia memperkenalkan diri sebagai bomba dan memberitahu bahawa kemungkinan anak saya sudah meninggal dunia," katanya sayu.

Menurutnya, ketika kejadian Muhamad Rahimi dipercayai sedang membantu kenalannya yang mengalami masalah kereta sebelum dirempuh oleh sebuah treler.

"Rahimi seorang anak yang baik, suka menolong orang. Dia kenal dengan keluarga itu dan saya tahu dia ingin membantu kawannya. tetapi kejadian itu sudah ditakdirkan dan saya reda dengan pemergiannya.

"Rahimi juga anak yang disenangi adik-adiknya serta saudara-mara," katanya.

Sementara itu pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan pada awal pagi Sabtu itu telah ditahan reman.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, lelaki berusia 37 tahun berkenaan direman selama empat hari bermula Sabtu untuk membantu siasatan.

"Permohonan reman ke atas pemandu treler itu dibenarkan bermula hari ini hingga 21 Disember depan.

"Hasil ujian alkohol dan air kencing ke atas lelaki berkenaan didapati negatif," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian melibatkan treler dan tiga kenderaan itu berlaku pada jam 12.09 tengah malam Sabtu.

"Treler itu dipercayai merempuh tiga kereta yang berhenti di lorong kecemasan ekoran salah satu daripadanya mengalami kerosakan.

"Dua kereta lain ketika itu berhenti untuk memberi bantuan," katanya.

Menurutnya, seramai 10 mangsa berusia antara 10 bulan hingga 37 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lelaki dan wanita tempatan mengalami cedera ringan.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan tersebut supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Subang Jaya, Asisten Superintendan Lim Chin Huat di talian 012-2018080 untuk membantu siasatan.

Kemalangan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Lain