suria

“Berpuluh trip staf angkut guna kereta” - 175 pengunjung terkandas di resort Bentong selamat dikeluarkan

Pengunjung Suria Hot Spring Bentong yang terkandas di resort itu sejak malam Sabtu akhirnya selamat tiba di KL Sentral petang tadi.

SELEPAS hampir 20 jam terkandas, akhirnya kesemua pengunjung yang terperangkap di Suria Hot Spring Bentong, yang terletak di Pahang berjaya dibawa keluar dari lokasi tersebut dengan selamat.

Menurut Ketua Pegawai Operasi, Suria Resorts & Hotels, Nor Dalina Khalil, sebahagian besar daripada 175 pengunjung berkenaan dibawa keluar menggunakan kereta oleh kakitangan resort.

ARTIKEL BERKAITAN: 184 individu terkandas di resort di Bentong lebih 15 jam! Elektrik terputus, dibimbangi tiada makanan - “Damage letak tepi, yang penting nyawa”

"Dalam kesemua jumlah itu, ada waris nak ambil dan ada yang dapat transport sendiri untuk pulang ke destinasi masing-masing. Kebanyakannya dari Lembah Klang.

"Sejak tengah hari tadi (Ahad), staf kami angkut guna kereta berpuluh-puluh trip hantar guests ke stesen minyak di Kampung Sungai Miak berhampiran Lebuhraya KL-Karak ketika air dah mula surut.

"Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan selamat cuma sudah pastinya letih dan kelaparan. Kami usaha aturkan makanan untuk mereka dengan pejabat majlis daerah dan resort lain yang berdekatan," ujarnya kepada mStar.

stesen minyak

Pengunjung 'menumpang' sementara di stesen minyak di Kampung Sungai Miak.

Menurut Nor Dalina, pihaknya juga berjaya mendapatkan kenderaan untuk menghantar pengunjung pulang ke Kuala Lumpur.

"Alhamdulillah, kesemua mereka kini sudah selamat tiba di Stesen Sentral Kuala Lumpur kira-kira pukul 6.40 petang tadi. Ada juga waris datang ambil. Syukur semuanya sudah pulang ke destinasi masing-masing.

"Cuma kereta mereka masih tersadai di resort buat masa ini," ujarnya.

Berkongsi mengenai situasi di resort tersebut, Nor Dalina berkata kerosakan yang berlaku agak teruk.

Ada juga waris datang ambil. Syukur semuanya sudah pulang ke destinasi masing-masing.

NOR DALINA KHALIL

KETUA PEGAWAI OPERASI SURIA RESORTS & HOTELS

"Memang kerosakan sangat teruk... dengan dipalit selut, ada yang rosak. Sudah tentu kos yang perlu ditanggung selepas ini besar.

"Apa yang saya dan pengusaha resort lain harapkan, mohon kerajaan tidak pinggirkan kami. Industri tourism sudahlah terkesan kerana Covid-19 sebelum ini... baru bangkit perlahan-lahan, diuji dengan bencana.

"Siapa kita nak menolak takdir, namun itu saja yang kami harapkan. Tolonglah bantu kami juga," katanya lagi.

resort

Situasi resort yang dinaiki air pada malam Sabtu.

Terdahulu, mStar melaporkan seramai 184 individu yang terdiri daripada 175 pengunjung dan sembilan kakitangan, terperangkap di Suria Hot Spring Bentong lebih daripada 15 jam selepas air mula menenggelami kawasan berkenaan.

Nasib mereka menjadi tanda tanya selepas terputus hubungan dengan kali terakhir dapat dihubungi pada pukul 10 pagi (Ahad).

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berikut

Artikel Lain