suria

Hujan sehari bersamaan hujan sebulan di Selangor – PM

Keadaan banjir di Shah Alam pada Sabtu. foto ihsan penduduk Shah Alam

TABURAN hujan pada Sabtu adalah bersamaan dengan taburan hujan untuk sebulan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dengan merujuk kepada kejadian banjir di Selangor, Ismail Sabri berkata, perkara tersebut dimaklumkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa).

ARTIKEL BERKAITAN: Cuti kecemasan untuk penjawat awam terjejas banjir, PM saran majikan swasta turut beri cuti tanpa potong gaji, cuti tahunan

"Hujan yang berlaku di Selangor semalam (Sabtu) yang berlaku satu hari tu, biasanya berlaku untuk satu bulan. Jumlah hujan yang turun satu hari tu sepatutnya jumlah dalam satu bulan.

"Sebab itulah bila berlaku tiba-tiba seperti itu, maka berlaku kekalutan. Sebab itu tidak ada persediaan untuk berpindah rumah dan sebagainya. Tak sangka air naik begitu cepat," katanya pada sidang media, petang Ahad.

Ismail Sabri berkata, keadaan itu menyebabkan penduduk yang terjejas akibat banjir terkandas dan terpaksa menunggu bantuan untuk dibawa ke tempat pemindahan sementara.

"Ada yang terpaksa tunggu di rumah untuk diambil oleh agensi-agensi terlibat dari segi perpindahan.

"Makanan tak dapat dihantar semalam sebab semua jalan ditutup. Jalan ditenggelami air. Kalau ada pun, jalan penuh dengan kereta yang tersangkut, tak memungkinkan lalu untuk menghantar makanan," katanya.

Beliau bagaimanapun difahamkan keadaan banjir di Selangor semakin pulih pada Ahad.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, isu mereka yang terperangkap dalam banjir telah selesai.

"Bagaimanapun kalau tak pulih, kita mempunyai alternatif lain. Kita dah bincang kalau ada jalan yang tidak boleh dilalui, helikopter pun akan kita gunakan untuk menghantar makanan.

"Bagi kita, hari ini tidak ada isu lagi sepatutnya timbul. Semua isu yang timbul semalam kita anggap selesai," katanya yang merujuk kepada bantuan dari segi pemindahan dan penghantaran makanan untuk mangsa banjir membabitkan agensi-agensi berkaitan.

Hujan berterusan di beberapa negeri termasuk di Selangor dan Kuala Lumpur sejak Jumaat, mengakibatkan banjir di beberapa kawasan seperti Klang, Shah Alam dan Hulu Langat.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain