suria

Banjir: 472 kawasan di Petaling, KL dan Hulu Langat alami gangguan bekalan air

Penduduk di 472 kawasan di Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran banjir.

AIR Selangor terpaksa menghenti tugas dua loji rawatan air manakala satu loji beroperasi pada pengeluaran separa berikutan peningkatan paras sungai yang mengakibatkan banjir.

Susulan itu, sebanyak 472 kawasan di tiga wilayah iaitu Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat, mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual, kata Air Selangor dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dengan kebanyakan jalan utama ditutup berikutan keadaan banjir yang memburuk, bantuan bekalan air alternatif kepada pengguna dan premis kritikal melalui lori tangki tidak dapat digerakkan, katanya.

Di Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2, berlaku penutupan bekalan elektrik kecemasan di muka sauk Semantan yang mengakibatkan ketiadaan bekalan air di loji tersebut.

LRA Cheras Batu 11 terpaksa ditutup sementara akibat banjir.

Sementara itu di LRA Sg Langat, peningkatan paras kekeruhan air menyebabkan LRA hanya mampu mengeluarkan 40 peratus daripada pengeluaran harian.

Pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat melalui laman web https://hentitugas.airselangor.com/ dan aplikasi Air Selangor.

Air Selangor tidak dapat memberikan jangkaan bila loji itu akan beroperasi semula sepenuhnya buat masa ini.

Tambahnya, pihak mereka akan menyediakan kemas kini dari semasa ke semasa melalui saluran komunikasinya seperti aplikasi, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain