NASIB 184 individu yang terperangkap di lokasi percutian, Suria Hot Spring Bentong masih belum diketahui sehingga kini selepas mereka gagal dihubungi sejak pagi Ahad. Bercakap kepada mStar, Ketua Pegawai Operasi, Suria Resorts & Hotels, Nor Dalina Khalil berkata, kesemua individu itu yang terdiri daripada 175 pengunjung dan sembilan kakitangan, terperangkap di resort berkenaan lebih dari 15 jam selepas air mula menenggelami kawasan berkenaan sejak Sabtu malam. Menurut Nor Dalina, dia mendapatkan maklumat daripada kakitangan resort berkenaan yang memaklumkan perkembangan situasi dari semasa ke semasa, namun kali terakhir berhubung dengan mereka pada pukul 10 pagi Ahad. ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 11,000 mangsa banjir ditempatkan di PPS enam negeri - PM ARTIKEL BERKAITAN: Banjir: Semua Giant di Lembah Klang akan ditutup sementara sehingga diberitahu kelak "Saya dari semalam lagi berkomunikasi dengan mereka. Menurut kakitangan di sana, air mula naik sehingga paras buku lali pada pukul 9 malam. Bimbang perkara buruk berlaku, kami beri arahan untuk memindahkan guests terutama yang di tingkat bawah. "Semuanya berlaku dalam jangka masa yang sangat singkat. Kurang dari 30 minit, saya dapat info air dah mula masuk ke bilik penginapan. Sebuah kenderaan yang diparkir di kawasan perkarangan resort hampir tenggelam sepenuhnya. "Dalam masa yang sama, pihak kami turut menghubungi agensi berkaitan seperti polis, bomba dan Majlis Perbandaran Bentong dan mereka ambil maklum situasi di resort. "Namun hujan makin lebat dan air naik hingga tangga menuju tingkat dua. Berkali-kali kami hubungi pihak berkaitan dan diminta menunggu bantuan yang dikhabarkan mungkin tiba awal pagi Ahad. "Bagaimanapun dari pukul 4 pagi sehinggalah kali terakhir saya berhubung dengan staf yang terperangkap pada pukul 10 pagi tadi (Ahad), masih tiada bantuan," ujarnya. (Kiri) Air mulai surut sedikit pada pagi Ahad berbanding paras yang sempat dirakam malam Sabtu (kanan). Tambahnya, bekalan elektrik di resort berkenaan telah terputus pada pukul 10 malam tadi. Apa yang membimbangkan kata Nor Dalina, kesemua yang terperangkap mungkin kelaparan selepas seluruh tingkat bawah termasuk kafeteria yang menyimpan bekalan makanan, ditenggelami air. "Kitchen dan hall tenggelam. Malam tadi air naik sampai tangga menuju ke tingkat dua, iaitu melepasi bumbung villa di resort. Kami turut dapat panggilan daripada waris yang tanya keadaan mangsa yang terperangkap namun sukar untuk jelaskan situasi sekarang. NOR DALINA KHALIL KETUA PEGAWAI OPERASI SURIA RESORTS & HOTELS "Dalam ramai-ramai di sana, ada bayi, anak kecil dan juga warga emas. Apa yang kami bimbangkan, hujan masih lagi berterusan dan bila-bila masa paras air akan naik semula meskipun pagi ini (sebelum terputus hubungan), air mula surut sikit. "Pihak kami akhirnya dapat hubungi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pagi tadi dan diberitahu untuk menunggu bantuan daripada pasukan tentera. Kolam air panas yang turut ditenggelami banjir. "Kami turut dapat panggilan daripada waris yang tanya keadaan mangsa yang terperangkap namun sukar untuk jelaskan situasi sekarang. "Apa yang kami mohon, moga pertolongan cepat sampai. Saya faham seluruh negara sedang berdepan situasi sama tapi kami bimbang, berapa lama mereka boleh bertahan. Sekarang ini soal damage kami letak tepi, yang penting nyawa. Mohon doakan agar semuanya selamat," ujarnya lagi.Sementara itu, usaha mStar untuk menghubungi Ketua Pengarah Nadma, Datuk Dr Aminuddin Hassim dan talian Hotline tidak berjaya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI