suria

Lebih 11,000 mangsa banjir ditempatkan di PPS enam negeri - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi taklimat situasi terkini keadaan banjir dalam negara oleh Ketua Pengarah Nadma, Datuk Dr Aminuddin Hassim di Pusat Kawalan Bencana Negara malam tadi. Foto: Bernama

LEBIH 11,000 orang yang terjejas akibat banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia sudah ditempatkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata pusat pemindahan sementara telah dibuka di enam negeri - Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

"Seramai 11,384 mangsa daripada 4,500 keluarga terlibat (yang dihantar ke pusat berkenaan)," kata Ismail Sabri dalam sidang media pada lewat malam Sabtu (18 Disember).

ARTIKEL BERKAITAN: Banjir: Semua Giant di Lembah Klang akan ditutup sementara sehingga diberitahu kelak

ARTIKEL BERKAITAN: Dua kematian direkodkan setakat ini akibat banjir di lima negeri

Sebanyak 45 pusat pemindahan sementara dibuka di Selangor, 84 di Pahang, 39 di Kelantan, masing-masing sembilan di Melaka dan Negeri Sembilan, dan dua di Terengganu.

"Kita juga telah membuka talian hotline kepada orang ramai yang memerlukan bantuan di talian 03-8064 2400.

"Talian hotline ini diuruskan oleh Pusat Kawalan Bencana Negara yang berpangkalan di pejabat Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)," katanya.

Ismail menambah, bantuan masih diteruskan pelbagai agensi termasuk polis untuk memindahkan orang ramai yang terperangkap banjir khususnya di Selangor.

"Di Selangor, keadaan agak kelam kabut kerana banjir secara tiba-tiba dan jarang berlaku pada musim tengkujuh.

"Ini tak sama dengan negeri lain seperti Pahang dan Kelantan yang sememangnya menjangkakan apa yang berlaku pada musim tengkujuh di akhir tahun," kata beliau.

Menurutnya, aset daripada perlbagai agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan lain-lain sedang digerakkan.

"Yang terperangkap, pindahkan segera. Bagi saya tak boleh lama (dibiarkan). Kita tak tahu air mungkin akan naik lagi atau pun turun.

"Paling penting selamatkan mereka. Pindahkan di tempat yang selamat. Pasal bantuan kewangan kita boleh uruskan kemudian... yang penting sekarang ini, pindah, makan," katanya.

Ismail Sabri berkata Nadma dan JKM akan membekalkan makanan kepada mangsa banjir.

"Kepada semua yang terjejas banjir, bertenang dan jangan risau. Kami akan memastikan segala usaha diambil untuk membantu anda.

"Cuma saya minta supaya berhati-hatilah keadaan banjir ini, jaga anak masing-masing. Berhati-hatilah kerana air kita tak tahu sedalam mana, sederas mana," katanya lagi. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

PPS, banjir, Nadma

Artikel Lain