suria

Sirim sasar jadi pemimpin bukan pengikut... yakin teknologinya mampu memacu ekonomi, sosial dan pertumbuhan negara

Sirim bersedia untuk menjadi peneraju teknologi terkini dalam tempoh enam tahun.

SIRIM Bhd – sebuah agensi di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan sebuah badan korporat sejak 1 September 1996 telah bersedia untuk menjadi peneraju teknologi terkini dalam tempoh enam tahun, melalui pengadaptasian kilang digital dan model inovasi terbuka yang memerlukan peraturan baharu komprehensif, teknologi penyelesaian terkini dan pasukan fungsi silang (cross-functional teams).

Dengan adanya Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad mengetuai Sirim, yang berpengalaman selama 57 tahun dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa dan sebagai usahawan tekno, beliau dilihat bersedia dan mampu mendorong agensi ini mencapai wawasannya untuk menjadi "rakan inovasi terbaik", buat pemegang saham utamanya - iaitu kerajaan, industri dan masyarakat.

“Kami mahu menangani isu dan cabaran yang dihadapi pengeluar tempatan seperti pengkomersilan yang rendah atau kurangnya hasil inovasi produk dan perkhidmatan.

“Salah satu usaha kami adalah melalui model yang dikenal pasti sebagai 'kilang digital' - satu inisiatif untuk meningkatkan proses inovasi, bermula dari idea sehingga pengkomersilan untuk rakyat (berpaksikan rakyat), Perusahaaan Kecil dan Sederhana (berpaksikan PKS), dan menggunakan teknologi terkini.

“Selain itu, kami juga berharap dapat menangani masalah seperti kekurangan tenaga pakar dan keupayaan yang tidak mencukupi, sumber pembiayaan yang terhad untuk melabur pada teknologi baharu, dan tempoh pembangunan yang panjang untuk menghasilkan sesuatu produk.

“Untuk itu, kerjasama yang erat diperlukan antara pihak dalaman Sirim dan pihak luar untuk menangani cabaran serta mencapai matlamat industri melalui hab inovasi terbuka.

“Ia membolehkan Sirim meneroka, bekerjasama, menyelidik, mencuba,membangun, merintis dan mengkomersialkan pelbagai inovasi menggunakan ‘garaj inovasi’ dan pendekatan yang tangkas,” kata Ahmad Sabirin selaku presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Sirim Bhd.



Pengalaman lebih lima dekad Ahmad Sabirin dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa dan sebagai usahawan tekno, dilihat mampu mendorong Sirim mencapai wawasannya untuk menjadi "rakan inovasi terbaik"

Kilang Digital Sirim dan konsep inovasi terbuka membolehkan Sirim melibatkan diri dengan pereka luar dari ekosistemnya.

Rangka dan strukturnya pula memastikan pengurusan projek dapat dijalankan dengan pantas, inovasi teragih, orkestrasi rangkaian dan meningkatkan perkongsian dan kerjasama.

“Akhir sekali, Sirim sebagai kilang digital dan hab inovasi terbuka bercita-cita untuk menghasilkan produk berdasarkan keperluan individu yang pelbagai, secara berterusan serta bertindak balas serta merta terhadap sebarang perubahan dari segi permintaan dan trend,” katanya.



Kilang Digital Sirim dan konsep inovasi terbuka membolehkan Sirim melibatkan diri dengan pereka luar dari ekosistemnya.

Teknologi terkini

Kerajaan mensasarkan agar Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi dan menjadi pusat teknologi dan inovasi untuk teknologi terkini.

Ini bertujuan untuk menarik bakat tempatan serta dari bakat luar yang terbaik bagi membantu mencari penyelesaian terhadap isu dan cabaran yang dihadapi pelbagai industri.

Selepas 25 tahun dikorporatkan, Sirim akan terus mengukuhkan penjenamaannya dan berusaha untuk kekal berdaya tahan demi mencapai sasaran pertumbuhan perniagaannya dan kekal mampan, untuk menjadi rakan inovasi terbaik.

Sirim mempunyai inspirasi untuk menjadi pemimpin peneraju teknologi terkini seperti blockchain, pengkomputeran kuantum, IoT, IoT industri, Internet of Everything (IoE), data besar, kecerdasan buatan, serta teknologi autonomi dan dron – semua teknologi utama bagi sektor pembuatan pintar pada masa kini, dan bandar pintar.

Kerjasama dengan Turkish Aerospace baru-baru ini bagi membangunkan ekosistem industri aeroangkasa negara telah menetapkan fokus Sirim dalam sektor tersebut.

“Sirim dan Turkish Aerospace juga berharap dapat membangunkan Rangka Kerja Perniagaan Teknologi Strategik Antarabangsa berhubung dengan industri aeroangkasa dan mengenal pasti penyelesaian menyeluruh untuk pelaksanaan Projek Pengilangan Pintar Industri 4.0.

“Kami juga sedang mengkaji untuk membangunkan penyelenggaraan tempatan, pembaikan dan kepakaran baik pulih untuk industri aeroangkasa.

“Selain itu, Sirim melalui cabang penyelidikannya akan memudahkan proses penyelidikan dan pembangunan dengan industri strategik untuk sebarang aplikasi baharu seperti bahan lanjutan yang merangkumi salutan nano, gentian karbon dan polimer," kata Ahmad Sabirin.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Sirim akan menerajui Sistem Pengurusan Kualiti Pensijilan Aeroangkasa sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membangunkan industri ini.

Dalam memacu teknologi terkini, Sirim perlu melaksanakan program pendigitalan yang memerlukan organisasi untuk berubah dan menambah baik infrastruktur teknologi maklumat (IT) dan sistem perniagaan secara menyeluruh dan drastik.

Dengan adanya mindset ini, hala tuju pendigitalan telah dirangka - iaitu melalui pelan strategik selama lima tahun yang merangkumi pelaksanaan infrastruktur IT dan sistem terkemuka untuk menyokong pelbagai inisiatif anak syarikat.

Pelan yang bermula pada 2019 termasuk peningkatan kemahiran dan kemahiran semula keupayaan dalaman, penambahbaikan proses perniagaan, dan mengaplikasikan teknologi terkini berpandukan dua prinsip utama - untuk kepentingan rakyat (berpaksikan pada rakyat) dan untuk menyelesaikan sebarang isu dan cabaran yang dihadapi industri (berpaksikan pada PKS).

Disamping mengukuhkan sistem dan keupayaan dalaman menggunakan teknologi terkini, Sirim akan terus menerajui teknologi perindustrian dengan menggunakan teknologi inovasi terkemuka.

Antara contohnya ialah Pusat Inovasi Perindustrian Sensor Sirim telah membangunkan Sistem Maklumat Bersepadu Kelulut menggunakan teknologi IoT bagi mengukur suhu dan kelembapan sarang kelulut (lebah tanpa sengat) secara tepat masa supaya koloni kekal produktif untuk menghasilkan madu.

Walaupun berlakunya pandemik, pada tahun 2020, Sirim membantu 13,603 syarikat dan melancarkan 39 produk baharu dan perkhidmatan seperti My3D Printing Marketplace – platform digital yang boleh menterjemah idea dan reka bentuk ke dalam bentuk sebenar menggunakan cetakan teknologi 3D yang digunakan pereka bebas, usahawan teknologi dan syarikat pembuatan.

“Akhirnya, kami mahu orang ramai untuk ingat bahawa jika mereka mahu mencapai sesuatu dengan teknologi, mereka harus datang ke Sirim,” kata Ahmad Sabirin.

Teknologi berpaksikan PKS

Sesungguhnya PKS dianggap sebagai tulang belakang ekonomi Malaysia, di mana ia menyediakan pekerjaan dan peluang pertumbuhan.

Bagaimanapun, pada tahun 2020, nilai keluaran kasar PKS dalam negeri menguncup 7.3 peratus kepada RM512.8 bilion.

Sebagai industri penyelidikan terulung dan organisasi teknologi dalam Malaysia, dan peneraju kualiti negara, Sirim mahu memainkan peranannya dengan berkesan dan cekap untuk membantu usahawan PKS menghadapi cabaran sewaktu fasa endemik Covid-19.

Rancangan Sirim adalah untuk meningkatkan penggunaan teknologi, seperti Program Sirim-Fraunhofer – satu kerjasama di antara Sirim dan Institut Fraunhofer Jerman sejak tahun 2015 untuk meningkatkan produktiviti PKS dalam sektor pembuatan.

Pada tahun 2020, Program Sirim-Fraunhofer mendaftar 68 aplikasi audit teknologi baharu, menjalankan 200 audit teknologi, meluluskan 133 penggunaan teknologi projek dan melatih 130 kakitangan PKS.

Sementara itu, Sirim-ECER (Wilayah Ekonomi Pantai Timur) iaitu sebuah program pembangunan usahawan yang telah berusaha membantu 481 usahawan mikro PKS untuk menjana peluang pekerjaan baharu sebanyak 27 peratus – iaitu daripada 967 pekerja kepada 1,229 pekerja selepas tamat program pada tahun 2020.

Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporat sosialnya, sejak Ogos, Sirim telah membantu 30 usahawan mikro, kecil dan perusahaan sederhana yang terjejas dek pandemik untuk meningkatkan kualiti persembahan produk mereka dan menikmati jualan yang lebih baik.

Di bawah program ini, usahawan yang kebanyakannya terlibat dalam industri makanan dan minuman menerima bantuan dalam bentuk pembangunan jenama, pelabelan, kandungan nutrisi dan teknik asas pemasaran digital.

Sirim juga menyediakan teknologi dan penyelesaian untuk membantu PKS menaik taraf tahap mereka dan meningkatkan produktiviti pembuatan dan kualiti.

Contohnya, Projek Hibrid Kiln Tenaga Hijau Kiln dengan Persatuan Pengusaha Kayu Kayan dan Perabot Bumiputera Malaysia (Peka) menggabungkan tiga teknologi untuk meningkatkan kecekapan tenaga dan dijangka dapat menjimatkan sehingga 60 peratus kos keseluruhan tenaga yang terlibat dalam operasi mengeringkan kayu.



Pojek Hibrid Kiln Tenaga Hijau dijangka dapat menjimatkan sehingga 60 peratus kos keseluruhan tenaga yang terlibat dalam operasi mengeringkan kayu.

Teknologi berpaksikan rakyat

Sirim menggunakan teknologi, sumber dan keupayaan, dan menyelaraskan strategi dan pelaksanaan mengikut dasar dan program seperti Rancangan Malaysia ke-12, Pelan Hala Tuju Strategik E-dagang Negara, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Revolusi Industri Keempat, Rangka kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (10-10 MySTIE) dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia untuk memanfaatkan negara, memastikan kemampanan dan meningkatkan ekonomi.

“Dalam memperjuangkan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus, Sirim juga memberi penekanan kepada teknologi yang memberi manfaat kepada masyarakat secara amnya, seperti sistem pembersihan air Sirim untuk kawasan luar bandar dan lampu jalan solar,” kata Ahmad Sabirin.

Sirim Ayaq Nano – sistem penapisan air mesra alam yang menggunakan nanoteknologi terkini dengan cahaya imbasan ultraungu dan penapisan mikro polipropilena yang boleh menapis sehingga 5,000 liter air.

Bagi menyokong industri farmaseutikal dan perubatan, Sirim memberikan jaminan nasional bahawa vaksin yang diperolehi memenuhi kriteria antarabangsa dari segi keselamatan, keberkesanan dan pembuatan.

Ahmad Sabirin menganggap anggota kerja adalah aset utama Sirim dan berharap dapat melengkapkan mereka dengan peralatan yang betul untuk membawa kumpulan ini kehadapan pada masa akan datang.

Beliau berkata terdapat keperluan untuk mencipta persekitaran yang fokusnya kepada inovasi untuk menggalakkan orang ramai mengambil risiko dan menerima kegagalan.

"Di tempat-tempat seperti Silicon Valley, anda akan dipuji bila gagal sebab kita akan belajar lebih banyak daripada kegagalan berbanding apabila kita berjaya.

“Di Sirim, memang perlu ambil risiko untuk bergerak ke hadapan dan kekal relevan. "Kita mesti berupaya untuk mewujudkan kemusnahan dan sentiasa berani.

“Saya menyokong tingkah laku ini kerana saya mahu Sirim menjadi pemimpin, bukan pengikut. Kami perlu mengamalkan sikap 'boleh melakukan dengan lebih baik' tanpa ada rasa "takut gagal untuk capai sesuatu!," tegasnya.

Malahan, beliau juga mahu melahirkan generasi pemimpin akan datang dan menggalakkan mereka untuk tampil bersama idea masing-masing.

“Kita mempunyai individu yang berkemahiran dan berbakat di Sirim, dan saya berharap dapat memperkenalkan mereka kepada dunia,” katanya dengan penuh bersemangat.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain