PENGARAH bahagian operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Nor Hisham Mohammad terlampau sibuk dengan kerja menyelamat sehinggakan dia tidak dapat pulang ke rumahnya sendiri apabila dinaiki air. Malah, isterinya yang mengalami masalah kesihatan terpaksa dipindahkan menggunakan tangki simpanan air dengan bantuan rakan sekerjanya. Dia pulang ke rumahnya di Banting pada hari sabtu selepas kerja dan membantu jirannya mengalihkan perabot mereka kerana air hujan telah memasuki rumah mereka. Lewat petang itu, dia kembali ke pejabat untuk menguruskan kerja-kerja menyelamat mangsa banjir. Dia tidak sempat untuk pulang ke rumah pada malam itu namun keesokan harinya, dia mendapat berita bahawa rumahnya telah dinaiki air. “Saya suruh isteri berbaring di atas meja makan bersama dua ekor kucing kami dan tunggu bantuan,” katanya. Isterinya mengalami anemia, oleh itu Nor Hisham ingin mengelakkan isterinya itu daripada pening dan terjatuh ke dalam air. Anak lelaki mereka yang berumur 18 tahun berada di rumah rakan ketika itu. Nor Hisham terpaksa memohon bantuan pemandunya serta seorang pegawai untuk memindahkan isterinya. Dia mempunyai tangki simpanan air yang dia simpan di rumah, jadi ia digunakan untuk "mengangkut" isterinya. Nor Hisham berkata beliau perlu kekal fokus pada operasi menyelamat banjir di Selangor, kerana ramai penduduk yang sedang berdepan kesukaran. "Tetapi saya juga sentiasa memantau keadaan isteri saya," tambahnya. Nor Hisham hanya berkesempatan untuk pulang ke rumah pada Jumaat. Fokusnya kini adalah untuk membersihkan rumah dan menggantikan perabot yang rosak. "Kereta kami juga rosak akibat banjir," katanya. Seorang lagi anggota bomba, Mohd Arif Zakaria, yang dikerahkan untuk menyelamatkan mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, pada pagi Ahad, berkata keutamaan adalah untuk menyelamatkan mereka yang dilanda banjir walaupun rumahnya turut terjejas. Mohd Arif yang tinggal di Taman Sri Muda hanya dapat pulang ke rumahnya pada Jumaat, hampir enam hari selepas banjir melanda. “Seluruh tingkat satu rumah saya dinaiki air. Perabot saya sudah musnah, semuanya bersalut dengan tanah dan lumpur,” katanya. Keretanya rosak, begitu juga dengan 10 buah motosikal di rumahnya, sebahagiannya milik rakan-rakannya. “Disebabkan kawasan itu dinaiki air sekurang-kurangnya tiga hari menyebabkan kerosakan harta benda saya agak banyak. “Apabila saya bertolak ke tempat kerja pada pukul 5 petang Sabtu, paras air sudah mencecah paras pinggang saya,” katanya. Namun Mohd Arif tetap fokus kepada tugasnya, membantu orang yang memerlukan. - The Star Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI