DEWAN Undangan Negeri (DUN) Johor meluluskan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor (Pindaan) 2021 untuk menurunkan had umur minimum calon pilihan raya bagi kerusi Dun daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Pindaan Perkara 16 Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1985 (Pindaan) 2021 dibentangkan oleh Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Khamis (6 Januari). Pindaan itu diluluskan sebulat suara oleh semua Adun selepas bacaan kali ketiga. ARTIKEL BERKAITAN: SPR umum Undi 18 sudah diwarta, mula berkuat kuasa 15 Disember Pindaan itu dibahaskan oleh Hahasrin Hashim (BN-Panti) dan K. Raven Kumar (BN-Tenggaroh) yang mewakili blok kerajaan manakala Andrew Chen Kah Eng (PH-Stulang) dan Mohammad Taqiuddin Cheman (PH-Pulai Sebatang) mewakili Pembangkang. "Enakmen ini akan berkuat kuasa pada tarikh yang akan ditetapkan oleh kerajaan negeri melalui pemberitahuan dalam warta," kata Speaker Dun, Suhaizan Kayat. Pindaan itu selaras dengan kelulusan rang undang-undang pada 2019 untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur mengundi dan umur layak calon pilihan raya daripada 21 tahun kepada 18 tahun. - THE STAR Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI