suria

Pengguna perlu bersedia, harga ayam, telur dijangka meningkat - Nanta Linggi

Nanta beri jaminan kadar kenaikan harga tidak akan membebankan.

PENGGUNA perlu bersedia akan kemungkinan berlakunya peningkatan harga siling ayam segar dan telur sejurus Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM), tamat Februari ini.

Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ini kerana ramai penternak ayam dibebani dengan kenaikan kos operasi dan makanan haiwan import.

Namun begitu, Nanta memberi jaminan bahawa kadar kenaikan harga tidak akan membebankan rakyat Malaysia, sambil berkata kementerian sedang mencari mekanisme terbaik dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk menstabilkan harga runcit makanan.

“Sekarang harga siling ayam sehingga 4 Feb ini ialah RM9.10 sekilogram dalam kalangan peniaga runcit dan sebab itu pada Khamis (6 Jan), kami membincangkan sebab-sebab yang menyebabkan kos operasi membabitkan penternak ayam meningkat,” katanya.

Nanta bercakap kepada pemberita selepas menemui mangsa banjir di pusat penempatan sementara (PPS) Sungai Rambai di sebuah sekolah berhampiran pada Jumaat (7 Jan).

Nanta berkata sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa akan mengambil kira isu yang dihadapi bukan sahaja oleh rakyat Malaysia, tetapi juga penternak ayam.

“Jika mereka tidak dapat meneruskan operasi mereka, kita mungkin kehabisan bekalan makanan.

“Jadi, kita mesti peka dan saya ingin merayu kepada rakyat Malaysia untuk memahami situasi itu,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha Putrajaya untuk menstabilkan harga barangan keperluan, ia melancarkan Skim Kawalan Harga Maksimum Keluarga Malaysia pada 7 Dis tahun lepas.

Skim itu, yang mengenakan kawalan harga ke atas barangan keperluan harian termasuk ayam, telur dan sayur-sayuran, telah dilanjutkan sehingga 4 Feb tahun ini. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain