IMAM yang terlibat menghukum seorang remaja yang ditangkap mencuri wang tabung masjid, dengan memandikannya seperti jenazah, sudah meletakkan jawatannya. Menurut laporan FMT, Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, imam berkenaan telah diminta untuk meletakkan jawatannya. "Saya baru saja bercakap dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang memberitahu saya bahawa tindakan telah diambil. ARTIKEL BERKAITAN: Remaja curi tabung masjid dan dimandikan seperti jenazah, muncul kisah lain di sebalik alasan beli ubat datuk "Saya tidak pasti butirannya tetapi saya diberitahu imam telah meletak jawatan," katanya sebagaimana yang dilapor portal tersebut. Mengulas mengenai insiden yang mendapat reaksi pelbagai di media sosial, Zawawi berkata tiada sesiapa yang boleh mengambil tindakan atau menjatuhkan hukum di tangan sendiri. "Imam tidak boleh menghukum seseorang sebelum siasatan dijalankan, sepatutnya kita harus memberikan kenyataan kepada polis dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa. "Kewajipan imam adalah memberi nasihat dan bimbingan kepada individu yang bermasalah dan tidak menghukum," katanya lagi. Remaja bernama Daniel Iskandar, 19, didakwa cuba mencuri tabung kepunyaan Masjid Al-Islahiah dengan mengheret dan menyembunyikannya dalam bilik mandi jenazah, pada 8 Januari lalu. Selepas tertangkap, pihak masjid kemudian memandikan remaja itu seperti jenazah. Ketika dia 'dimandikan', ada individu turut merakam video di mana ia menjadi tular di media sosial. Pada Khamis, Mahkamah Majsitret Selayang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap remaja berkenaan kerana cuba mencuri tabung masjid lima hari lalu. Ketika perbicaraan, dia mendakwa terpaksa bertindak sedemikian bagi mendapatkan wang untuk membeli ubat-ubatan datuknya yang menghidap kencing manis. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI