suria

Amanah ugut tarik balik sokongan kepada PM jika PRN Johor diteruskan

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Salahuddin Ayub.

TIMBALAN Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Salahuddin Ayub mengancam untuk menarik balik sokongannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri jika Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan di Johor.

Katanya, beliau tidak akan teragak-agak untuk menarik balik sokongannya terhadap memorandum persefahaman (MoU) kerjasama dua parti antara Pakatan Harapan dan kerajaan sekiranya PRN diadakan.

ARTIKEL BERKAITAN: “PM paling sempoi” - Berborak dengan 2 kanak-kanak di pondok R&R, netizen puji sikap Ismail Sabri

“Situasi hari ini tidak sesuai untuk rakyat melalui PRN, lebih-lebih lagi isu banjir masih belum selesai dan penularan wabak Covid-19 yang berterusan.

“Mereka (kerajaan) perlu memikirkan rakyat secara serius.

"Jika mereka membubarkan DUN secara melulu, di Johor dan kemudian di Perak atau negeri lain, maka saya boleh menarik balik sokongan saya terhadap MoU yang kita berikan selama ini," katanya kepada The Star.

Salahuddin, yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Adun Simpang Jeram, berkata, Pakatan Harapan Johor telah menyokong kerajaan negeri walaupun berstatus majoriti satu kerusi.

"Kami sangat bekerjasama dan menyokong kerajaan negeri demi kepentingan rakyat. Kami melangkaui politik.

"Jadi, apa tujuan dibuatnya (PRN) lebih awal?" tambahnya.

Spekulasi PRN akan diadakan di Johor rancak diperkatakan selepas kematian Adun Parti Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Osman Sapian bulan lepas.

Pentadbiran Perikatan Nasional di Johor ketika ini memegang negeri itu dengan majoriti satu kerusi, hanya 28 kerusi berbanding Pakatan Harapan 27 kerusi, manakala satu kerusi kosong selepas pemergian Adun Kempas.

Ketika ini kerajaan negeri terdiri daripada Umno (14), MIC (dua), PAS (satu) dan Bersatu (11) manakala pembangkang terdiri daripada DAP (14), Amanah (enam) dan PKR (tujuh). - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain