suria

Ibu remaja curi tabung masjid akui khilaf didik, besarkan anak

Jasma bercakap kepada pemberita selepas mendengar keputusan semakan semula hukuman terhadap anaknya di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

"SAYA akui kesilapan."

Demikian kata ibu kepada Daniel Iskandar, remaja berusia 19 tahun yang didakwa atas kesalahan cubaan mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang minggu lalu.

Remaja tersebut mendapat perhatian ramai selepas video dia dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap, menjadi tular di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja curi tabung masjid: Hukuman penjara, denda digantikan dengan khidmat masyarakat

ARTIKEL BERKAITAN: Peguam kongsi detik pertemuan dengan remaja curi tabung masjid, beri nasihat padu kepada masyarakat - "Semoga dia betul-betul insaf"

Wanita yang mahu dikenali sebagai Jasma, 41, mengakui kecuaian dalam membesarkan anak mungkin menjadi antara punca menyebabkan remaja itu terabai hingga terlibat dalam jenayah.

Menurutnya, apapun kesalahan yang dilakukan oleh anaknya itu adalah berpunca daripada dirinya dan bekas suami yang khilaf dalam mendidik serta membesar remaja tersebut.

"Pengajaran saya dapat dalam hal ini, apapun kesalahan punca datang daripada ibu bapa. Saya akui kesilapan yang membuatkan dia terabai dan membawa diri.

"Bagi saya ini adalah kecuaian diri saya sebagai ibu," katanya kepada pemberita selepas mendengar keputusan semakan semula hukuman terhadap Daniel di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai keputusan tersebut, Jasma berkata, dia sangat bersyukur dan berpuas hati terhadap perintah mahkamah supaya Daniel menjalani khidmat masyarakat di bawah program Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Jasma juga tidak mahu memaksa anaknya itu untuk tinggal bersama dia atau datuknya kerana merasakan remaja itu sudah cukup besar untuk membuat keputusan sendiri.

"Saya serahkan keputusan untuk tinggal dengan siapa selepas ini kepada dia sendiri. Sebab saya tak nak ada paksaan.

"Kalau saya kata duduk dengan saya, khuatir nanti dia akan memberontak. Mungkin lebih daripada ini, dia boleh buat buat. Cuma sekarang ini, saya mahu dia dapat pendidikan dan kesedaran," katanya. - Majoriti

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain