suria

6 hari tanpa khabar berita, kehilangan kanak-kanak perempuan Orang Asli terus jadi misteri

Mangsa yang berambut kerinting kali terakhir dilihat memakai baju kuning dan seluar biru.

KEHILANGAN seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli sejak enam hari lalu masih lagi menjadi satu misteri.

Kanak-kanak berusia sembilan tahun itu gagal dijumpai selepas pergi ke Hutan Temenggor di Gerik bersama keluarganya.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak perempuan hilang ditemui enam tahun kemudian dalam keadaan kelaparan di bilik hotel

Operasi mencari sedang dijalankan sehari selepas keluarganya membuat laporan polis pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, keluarga Kamaliah Anab menyedari dia tiada bersama ketika pulang ke rumah mereka di Kampung Selao di Gerik pada Khamis.

Katanya, Kamaliah yang berambut kerinting kali terakhir dilihat memakai baju kuning dan seluar biru.

“Kanak-kanak yang hilang telah pergi mencari hasil hutan bersama keluarga dan rakannya, dan apabila mereka tiba di rumah pada malam hari, mereka menyedari gadis itu hilang.

“Keluarga bersama penduduk kampung membantu mencarinya dalam kawasan tersebut tetapi tidak berjaya.

“Keesokan harinya, laporan polis telah dibuat di balai Bersia, dan jabatan Bomba dan Penyelamat dimaklumkan sehingga operasi mencari dan menyelamat dimulakan," ujarnya.

Operasi itu terdiri daripada 76 anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Hidupan Liar Perak, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), dan orang ramai.

"Usaha mencari mangsa masih diteruskan,” katanya. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain