suria

Pasca banjir: Skuad Perkeso turun padang bantu Keluarga Malaysia terjejas

Bantuan disalurkan oleh anggota skuad kepada mangsa banjir menerusi Program CSR Prihatin PERKESO.

ATAS keprihatinan terhadap nasib mangsa banjir yang melanda negara akhir tahun lalu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terpanggil untuk turun padang bagi membantu menyampaikan bantuan kepada komuniti yang terjejas.

Seramai 30 anggota PERKESO menyertai skuad misi bantuan banjir di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Prihatin PERKESO.

Sumbangan bantuan banjir diagihkan kepada mangsa-mangsa di beberapa daerah meliputi Hulu Langat, Shah Alam dan Klang di Selangor serta Karak di Pahang.



Timbalan Ketua Eksekutif PERKESO, John Riba Marin yang mengetuai misi bantuan banjir di Karak berkata, PERKESO prihatin dan proaktif untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan dan membantu masyarakat yang terjejas.

"Selain berfungsi sebagai khidmat tanggungjawab sosial, program ini juga dapat menerapkan sifat empati dan menzahirkan semangat kemanusian dalam kalangan anggota PERKESO untuk membantu Keluarga Malaysia yang terjejas dan ditimpa musibah," katanya.

csr perkeso 4

Anggota-anggota skuad berganding bahu menyampaikan sumbangan.

Menurutnya, program tersebut juga merupakan inisiatif bersepadu yang digerakkan dengan penglibatan beberapa pejabat, bahagian, unit dan persatuan di bawah PERKESO.

Misi bantuan turut disertai Ketua Pegawai Komunikasi PERKESO, Izad Raya; Pengarah PERKESO Negeri Selangor, Zainol Abu dan Ketua Bahagian Pengurusan Korporat, Mohd Shahar Ismail.

Menerusi program berkenaan, sebanyak 350 Kotak Prihatin atau kit bantuan banjir disumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir sejak 23 Disember lalu.

Antara kawasan yang disantuni anggota Perkeso adalah Taman Wijaya, Karak, yang dilaporkan pertama kali dilanda bencana alam itu sejak 1970.

csr perkeso 2 John Riba Marin

John Riba Marin (kanan) mendengar keluhan seorang mangsa banjir di Karak.

Dalam pada itu, PERKESO turut menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan khas seperti kuali, periuk, dapur gas mudah alih dan sabun basuh baju kepada mangsa banjir yang merupakan orang berinsurans (OB).

Justeru, penganjuran Program CSR Prihatin PERKESO menyahut seruan kerajaan bagi menggalakkan lebih banyak jabatan dan agensi di bawah kementerian masing-masing untuk turun membantu golongan masyarakat yang terjejas akibat banjir.

Sumbangan tersebut juga mencerminkan keprihatinan PERKESO terhadap Keluarga Malaysia dan diharap dapat meringankan beban kewangan dan emosi dalam menghadapi pasca bencana.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain