YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan di Wad Diraja Institut Jantung Negara (IJN) selama beberapa hari bermula Sabtu. Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan itu berhubung dengan rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali yang dijalani oleh Yang di-Pertuan Agong pada September 2020. "Rawatan susulan itu tertangguh dari 24 September 2020 ekoran daripada pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di hospital-hospital awam termasuk IJN. "Pada 24 September 2020, Seri Paduka Baginda menjalani rawatan intervensi tersebut setelah pengimejan MRI menunjukkan kecederaan pada sendi-sendi lutut dan buku lali baginda ketika bersukan," katanya dalam satu kenyataan, petang Ahad. Ahmad Fadil berkata, baginda turut berkenan untuk menjalani pemeriksaan respiratori di IJN. "Kesihatan Seri Paduka Baginda secara amnya adalah dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan. "Seri Paduka Baginda dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan susulan itu," katanya. Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat mendoakan semoga Al-Sultan Abdullah dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI