AHLI Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) memohon maaf kerana mendakwa bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengucapkan "selamat jalan" kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN). Ahli Parlimen Kangar, Amin Ahmad baru-baru ini berkongsi tangkap layar di akaun Facebooknya menunjukkan hantaran Najib yang kononnya mengucapkan "Selamat jalan?" kepada bekas mentornya. Amin mengakui kecuaiannya dan berkata dia akan mendapatkan nasihat undang-undang berhubung dakwaan penyalahgunaan kandungan Facebooknya. Dr Mahathir dimasukkan semula ke IJN selepas beliau dibenarkan pulang setelah menjalani satu prosedur elektif. Pada Sabtu (22 Jan), dikhabarkan Dr Mahathir berada dalam keadaan kritikal. Bagaimanapun, pada sebelah petang, anak perempuannya Marina Mahathir mengeluarkan kenyataan mengatakan keadaan bapanya stabil. Amin mengakui kesilapannya dalam catatan Facebook pada Isnin (24 Jan). "Saya akui ini adalah kesilapan saya... (ia) didorong oleh kebencian (bahawa) komen sedemikian boleh dibuat terhadap orang sakit, walaupun berbeza pandangan politik," katanya. “Semalam DS Najib... tinggalkan komen di FB saya untuk menunjukkan log aktiviti beliau yang membuktikan status yang saya kongsikan... adalah tidak benar. "Saya mengakui kesilapan saya dalam berkongsi tangkap layar tersebut dan memadamnya," tambahnya. Terdahulu pagi Isnin, Najib mengugut untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap Amin jika dia tidak memadamkan catatan Facebooknya dan memohon maaf. “Setelah membaca komen dalam posting saya dan posting Ahli Parlimen Kangar berhubung fitnah 'Selamat jalan?', saya telah mengarahkan peguam saya untuk memulakan proses saman fitnah terhadap MP PH dan pembantu peribadi sekiranya tidak memadamkan hantaran dan minta maaf hari ini. “Sukar untuk percaya apabila Atuk (Dr Mahathir) sakit, orang masih boleh bermain fitnah sedemikian hanya kerana (berpolitik)? “Orang tuduh saya, saya nafikan. “Mereka meminta saya menunjukkan log aktiviti Facebook saya untuk membuktikan bahawa saya tidak menyiarkannya, dan saya melakukannya. “Tetapi mereka masih tidak mahu minta maaf. “Ada yang mengatakan log aktiviti boleh diedit. “Anehnya, bagaimana log aktiviti boleh diedit tetapi bukan tangkap layar skrin? “Atas sebab itu, saya akan menyaman kedua-dua mereka jadi peguam saya boleh menunjukkan log aktiviti asal di mahkamah untuk memuaskan hati mereka. “Sebarang pampasan yang diterima akan diberikan sebagai bantuan kepada rakyat,” tulis Najib di Facebook.Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI