suria

Lelaki mati lemas ketika menjaring ikan, saksi nampak mangsa terkapai-kapai minta tolong

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat.

HASRAT seorang lelaki keluar menjaring ikan berakhir dengan tragedi pada Rabu.

Lelaki berusia 36 tahun itu ditemukan mati lemas selepas hanyut semasa memasang jaring ikan di hadapan kunci air lorong 1 dekat persisiran pantai Bagan Sungai Tiang, Bagan Datuk, Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa terakhir tragedi lemas babitkan tiga beradik ditemui

Mangsa ditemukan dalam keadaan terdampar di persisiran pantai sekitar jam 11.30 malam oleh orang ramai iaitu kira-kira lima jam selepas dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, laporan kehilangan mangsa dibuat seorang lelaki pada jam 6.15 petang yang ternampak mangsa terkapai-kapai menjerit meminta pertolongan.

Menurutnya, belum sempat lelaki itu berbuat apa-apa, mangsa telah tenggelam dan tidak timbul lagi.

"Usaha mencari dan menyelamat awal telah dijalankan oleh penduduk dan nelayan setempat, namun tidak menjumpai mangsa.

"Sehinggalah pada jam 11.30 malam, polis dimaklumkan mangsa dijumpai dalam keadaan terlentang dan masih lengkap berpakaian di persisiran pantai, berhampiran tempat kejadian memasang jaring ikan," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati, tiada sebarang kesan luka, lebam atau cedera yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

Katanya, semasa kejadian air dalam keadaan surut dan polis tidak menolak kemungkinan mangsa lemas akibat tidak tahu berenang.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. - Sinar Harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain