suria

Dikaitkan dengan penyebaran video gangguan seksual, kertas siasatan kes Ebit Lew di peringkat akhir

Pada 19 Ogos lalu, Ebit Lew dipanggil polis untuk dirakam keterangan.

NAMA pendakwah terkenal Ebit Lew menjadi sebutan ramai gara-gara penyebaran video gangguan seksual yang dikaitkan dengannya pada tahun lalu.

Pada Khamis, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kertas siasatan terhadap pendakwah tersebut sudah berada di peringkat akhir.

ARTIKEL BERKAITAN: Ebit Lew, isteri dipanggil ke Bukit Aman

Tambahnya, kertas siasatan sebelum ini sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara.

"Bagaimanapun, kita menerima semula kertas siasatan itu.

"Kita akan segera menyelesaikan kertas siasatan berkenaan untuk diserahkan ke Pejabat Peguam Negara," katanya.

Dia berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Khamis.

Terdahulu, siasatan terhadap pendakwah terkenal, Ebit Lew, 37, dilakukan selepas pihak polis menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.

Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 19 Ogos lalu, Ebit Lew dipanggil polis untuk dirakam keterangan berhubung penyebaran video gangguan seksual dikaitkan dengan pendakwah berkenaan.

Bagaimanapun, Ebit Lew ketika ditemui media sebaik selesai memberi keterangan mendakwa dakwaan itu berunsur fitnah kejam ke atas dirinya. - Sinar Harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain