DALAM keadaan pandemik Covid-19 yang belum berakhir, ibu bapa pastinya bimbang untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bagaimanapun menjawab kebimbangan itu ketika ditemui dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) di Hospital Tunku Azizah di ibu negara pada Khamis. ARTIKEL BERKAITAN: Banjir: Cuti sekolah disambung seminggu Menurutnya, daripada 160 kluster pendidikan di negara ini, semuanya berada dalam kategori 1, 2 dan 3 sahaja. Tambahnya, sifar kes dalam kategori 4 dan 5 membuktikan bahawa program vaksinasi berkesan, sekaligus membolehkan sekolah terus dibuka. "Untuk kluster pendidikan, yang kita ada mengikut peringkat persekolahan daripada 1 Januari hingga 2 Februari, paling banyak adalah sekolah asrama di peringkat sekolah menengah, 108 kluster. "Yang lain tidak tinggi sangat. Sekolah menengah harian ada 12 kluster, sekolah rendah harian 13 kluster, sekolah pra sekolah 10 kluster, kolej berasrama 19 kluster, yang paling banyak sekolah menengah berasrama. "Jumlah sekolah yang tutup akibat Covid-19, 14 sekolah sahaja. Maksudnya walaupun ada kluster, kita tetapi mengambil pendekatan penilaian risiko, kita tidak terus tutup. Kita akan pastikan bahawa kita membuat penilaian risiko terlebih dahulu,” katanya. Kata Khairy, penutupan sekolah adalah langkah terakhir yang akan dilakukan dalam mengekang penularan Covid-19. Untuk rekod, Kementerian Pendidikan (KPM) telah memaklumkan bahawa Sesi Persekolahan Penggal 3 2021/ 2022 dibuka mulai 9 Januari 2022 hingga 20 Mac 2022 bagi sekolah di negeri Kumpulan A. Manakala bagi sekolah di Kumpulan B Sesi Persekolahan Penggal 3 2021/ 2022 akan bermula mulai 10 Januari 2022 hingga 20 Mac 2022. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI