suria

Kedutaan Besar Malaysia bantu 15 rakyat terkandas di Manila

Saifuddin mengulas mengenai 15 rakyat Malaysia terkandas di lapangan terbang di Manila.

KEDUTAAN Besar Malaysia di Manila kini sedang membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino untuk memasuki Filipina, kata Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Menerusi ciapan di laman Twitter beliau pada Isnin, Menteri Luar itu berkata, Wisma Putra sedang berurusan dengan agensi berkaitan bagi memudahkan proses tersebut berjalan lancar.

"Kerajaan Malaysia akan sentiasa mempertahankan dan melindungi hak Keluarga Malaysia," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sijil vaksinasi dalam MySejahtera tak diterima, 15 pelancong Malaysia terkandas di Manila

Pada Ahad, seramai 15 pelancong dari Malaysia kini terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila Ninoy Aquino selepas mereka dihalang masuk ke Filipina oleh pihak imigresen di sana kerana mereka telah divaksin di Malaysia.

Salah seorang penumpang berkata mereka dimaklumkan oleh pihak imigresen Filipina bahawa sijil vaksin digital Malaysia dalam aplikasi MySejahtera bukanlah bukti vaksinasi yang boleh diterima.

Oleh itu, pihak berkuasa Filipina tidak akan membenarkan kemasukan 15 penumpang yang tiba dalam penerbangan 8.30 pagi dari Kuala Lumpur pada Ahad, manakala pasport mereka juga dirampas dan diberitahu bahawa mereka akan dihantar pulang pada hari Selasa.

Penumpang itu berkata, mereka diberitahu oleh pihak imigresen Filipina bahawa mereka perlu sama ada telah divaksin di negara lain seperti Singapura atau memiliki Sijil Vaksinasi Antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

15 penumpang itu, yang mana 13 daripadanya warga Malaysia dan dua lagi warganegara asing, berhasrat untuk pergi ke Filipina atas urusan perniagaan, peribadi dan kemanusiaan.

Filipina membuka sempadannya kepada pelancong yang diberi vaksin sepenuhnya mulai Khamis lalu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain