suria

Ibu tunggal gembira akhirnya dapat makan semeja bersama 3 anak selepas diberi hak penjagaan oleh Mahkamah Tinggi

Loh bersama tiga anaknya ketika menikmati makan tengah hari di sebuah hotel. Bersama mereka ialah Adun Bagan Dalam M. Satees (kiri), peguam Dr Shamsher Singh Thind (tengah) dan Presiden Tamilar Kural Malaysia David Marshel (kanan). Foto: The Star

SELEPAS mahkamah memerintahkan Loh Siew Hong diberikan hak penjagaan segera ke atas tiga anaknya, ibu tunggal itu tidak dapat menahan perasaan gembira kerana dia akhirnya dapat meluangkan masa bersama-sama buah hatinya.

Loh, 35, menikmati makan tengah hari bersama anak kembar perempuanya yang berusia 14 tahun dan anak lelaki yang berusia 10 tahun di sebuah hotel di Petaling Jaya.

"Saya amat gembira kerana anak-anak saya kembali bersama saya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Bapa Bukan Islam Boleh Dapat Hak Jagaan

ARTIKEL BERKAITAN: Tukar Agama & Hak Penjagaan Anak: Kerajaan Cadang Tubuh Mahkamah Pengantara

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi Isnin memerintahkan tiga adik-beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan segera kepada ibu mereka, Loh Siew Hong.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu, yang memohon pembebasan segera tiga anaknya.

Hakim menyatakan bahawa terdapat perintah mahkamah sedia ada oleh Mahkamah Tinggi, bertarikh 31 Mac 2021, yang memberikan Loh hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas tiga anaknya.

Dalam permohonan habeas corpusnya yang difailkan melalui Tetuan SS Thind pada 13 Februari, Loh menamakan Nazirah Nanthakumari Abdullah sebagai responden pertama dan pihak yang tidak dinamakan yang didakwanya menjaga tiga anaknya sebagai responden kedua.

Menurut dokumen mahkamah, Loh memohon writ habeas corpus atau perintah lain yang sesuai oleh mahkamah untuk membolehkan ketiga-tiga kanak-kanak itu dibebaskan serta-merta daripada hak penjagaan persendirian responden, dan kanak-kanak itu dikembalikan kepadanya.

Dia menyatakan bahawa anak-anaknya berada dalam jagaan responden pertama di Bayan Lepas, Pulau Pinang, dan dia tidak dibenarkan bertemu atau membawa mereka pulang.

Kanak-kanak itu, katanya, kemudian dipindahkan ke Perlis dan di bawah kawalan dua responden. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain