suria

Tabung Haji agih keuntungan RM2.46 bilion

TH mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus, bagi tahun kewangan 2021.

LEMBAGA Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus, bagi tahun kewangan 2021.

Keuntungan itu membabitkan nilai RM2.46 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, agihan keuntungan itu akan memanfaatkan lebih 8.4 juta pendeposit TH dengan jumlah keuntungan diagih adalah RM219 juta lebih tinggi atau meningkat 2.9 peratus berbanding RM2.24 bilion bagi tahun kewangan 2020.

Jelas beliau, agihan keuntungan itu adalah kompetitif, mengambil kira faktor kadarnya lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 2.36 peratus.

"Kadar pulangan tahun 2021 adalah berpatutan setelah mengambil kira keadaan persekitaran perniagaan dan pasaran sukuk dan saham yang mencabar pada tahun lepas.

"Kedudukan kewangan TH terus kekal kukuh dengan aset berjumlah RM88.73 bilion melebihi liabiliti berjumlah RM85.51 bilion pada 31 Disember 2021," katanya pada Majlis Pengumuman Agihan Keuntungan TH Tahun 2021 di Menara Tabung Haji di Kuala Lumpur, Khamis.

Idris berkata, pulangan itu juga telah mengambil kira zakat yang akan dilunaskan bagi pihak pendeposit sebanyak RM107 juta.

Beliau berkata, jumlah simpanan deposit yang dijamin kerajaan mencecah RM83.33 bilion iaitu jumlah tertinggi dalam sejarah TH sejak 59 tahun penubuhannya.

"Jumlah kos operasi juga menurun sebanyak empat peratus berbanding tahun 2020 hasil daripada langkah pengurusan kewangan yang berhemah," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain