NOORYANA Najwa Najib mengakui dia cuba untuk mendapatkan pekerjaan di Goldman Sachs. Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu berkata, dia pernah bertemu bekas Pengerusi Goldman Sachs South Asia, Tim Leissner dan bekas eksekutif Goldman Sachs, Roger Ng. Menurutnya, ia merupakan usaha membina jaringan bagi mendapatkan pekerjaan kompetitif. ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan diminta ambil tindakan undang-undang, sita rumah RM41.8 juta untuk bekas kekasih Leissner "Bagaimanapun, saya dimaklumkan tawaran pekerjaan kepadanya mungkin menjadi konflik kepentingan memandangkan Goldman Sachs ada menjalankan perniagaan dengan kerajaan Malaysia," katanya menerusi satu posting di Facebook, pada Rabu. "Saya berminat Goldman Sach kerana saya mahu mencari pekerjaan yang menggabungkan kewangan dan dasar kerajaan, memandangkan saya merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Politik Antarabangsa dan Dasar Luar dari Georgetown University Washington DC," katanya. Susulan itu, katanya, Nooryana berkata, Leissner membantunya mendapatkan tawaran sebagai pelatih di firma ekuiti swasta, TPG. "Saya menghadiri temu duga untuk jawatan pelatih penganalisis di pejabat TPG London. Ya, sebagai pelatih. Bermakna saya berada di kedudukan paling bawah. "Selain bidang tugas asas, saya juga bertanggungjawab pada tugas sampingan. Sayalah gadis PowerPoint, gadis fotokopi, gadis kopi dan gadis penghantar, selain beberapa tugas lain," katanya. Nooryana berkata, dia berkhidmat sebagai pelatih selama 11 bulan untuk memberi fokus pada perniagaan dan menyambung pengajian. Pada 22 Februari, Leissner memberitahu Mahkamah Persekutuan di New York bahawa dia dimaklumkan oleh Jho Low bahawa Najib mahu tiga anaknya diberikan pekerjaan di Goldman Sachs. Bagaimanapun, Najib pada Rabu menjelaskan bahawa tiada seorang pun anaknya ditawarkan bekerja oleh Goldman Sachs. Leissner yang juga saksi penting dalam perbicaraan jenayah membabitkan bekas eksekutif Goldman Sachs, Roger Ng, yang dituduh melakukan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI