suria

Sayu bayi 15 bulan maut di pusat asuhan, pasangan reda pemergian anak kali kedua

Yuseri mencium jenazah anaknya. foto Sinar harian

SEPASANG suami isteri reda apabila anak berusia 15 bulan meninggal dunia ketika berada di sebuah pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan, pada Selasa.

Lebih menyedihkan apabila mereka baru saja kehilangan anak kedua, dua tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: 24 kanak-kanak maut akibat demam misteri

ARTIKEL BERKAITAN: Tragis kanak-kanak maut jatuh tingkat 10 kuarters polis

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, anak perempuan pasangan Yuseri Yusoff, 39 dan Anida Idrus, 41, ditemui tidak sedarkan diri di dalam buaian di pusat jagaan berkenaan.

Menurut Yuseri, ketika kejadian dia berada di rumah dan isteri menghubungi memaklumkan yang anak bongsunya Nour Rania Asyifaa, tidak lagi bernafas.

"Saya kemudian bergegas ke Klinik Kesihatan Sendayan dan ketika tiba doktor sedang cuba membantu memberi bantuan pernafasan tetapi dia sudah 'tiada'.

"Malam sebelum kejadian anak saya baik-baik saja. Difahamkan ketika kejadian itu anak saya susah tidur, jadi pekerja pusat asuhan itu tidurkan dia di dalam buaian," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), pada Rabu.

Yuseri memegang jenazah anaknya.

Yuseri memegang jenazah anaknya.

Menurutnya, Nour Rania dihantar ke pusat jagaan itu sejak setahun lalu dan anak sulung yang kini berusia tujuh tahun turut pernah dihantar ke situ.

Ujarnya, dia reda menerima kejadian berlaku dan selebihnya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001. - Sinar harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain