suria

Rakyat Malaysia di Ukraine dijangka tiba di tanah air esok - PM

Ismail Sabri memaklumkan perkembangan terbaru situasi rakyat Malaysia yang terkandas di Ukraine, menerusi ciapan di Twitter.

SEMBILAN rakyat Malaysia bersama dua tanggungan mereka dari Ukraine kini dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dan dijangka tiba di tanah air esok (Selasa).

Perkembangan terbaharu itu dikongsikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menerusi ciapan di Twitter, Isnin pagi.

Menurutnya, kumpulan tersebut telah selamat dibawa keluar dari Kyiv dan memasuki Poland.

ARTIKEL BERKAITAN: Syukur... rakyat Malaysia di Ukraine selamat tiba di sempadan Poland, kembali ke tanah air tak lama lagi

"Atas dasar persahabatan dan diplomatik, kita juga membantu membawa keluar seorang warganegara Singapura bersama-sama rombongan rakyat Malaysia ke Poland.

"Saya menghargai ucapan penghargaan dari Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur, dalam laman Facebook rasmi mereka "A friend in need" dan kerajaan Malaysia juga sentiasa meraikan keakraban kedua-dua negara.

"Kita tempuhi bersama sebagai satu keluarga dan bekerja bersama sebagai satu keluarga Asean," tulis perdana menteri.

Pada Ahad, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah memaklumkan konvoi yang memindahkan sembilan rakyat Malaysia dan dua tanggungan mereka serta seorang warga Singapura dari Kyiv diketuai oleh Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine, Cik Fadhilah Daud telah selamat tiba di Korczowa-Krakovets, sempadan Ukraine dengan Poland.

Ketegangan yang berlaku di Ukraine susulan Presiden Rusia, Vladimir Putin melancarkan 'operasi ketenteraan khas' mulai meruncing sejak beberapa hari.

Ia menyaksikan ratusan ribu rakyat Ukraine meninggalkan negaranya, sejak pencerobohan Rusia pada Khamis lalu.

Dalam perkembangan terbaharu, Putin dilaporkan telah mengarahkan menteri pertahanan dan ketua kakitangan am angkatan tentera Rusia untuk meletakkan pasukan pencegahan tentera ke dalam mod khas perkhidmatan tempur.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain