suria

Terdesak akibat masalah bil perubatan bapa, Endang Hyder terpaksa lepaskan biola kesayangan

Endang memuat naik rakaman video online busking dan meninggalkan nombor akaun bank miliknya sekiranya ada yang mahu memberi sumbangan. Foto: Instagram Endang Hyder.

KASIHNYA seorang anak, apa sahaja sanggup dilakukan demi bapa tercinta.

Begitulah yang dilalui pemain biola profesional, Endang Hyder, 36, yang meluahkan hasrat menjual peralatan muzik demi menampung perbelanjaan perubatan bapanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Di Sebalik Nama Endang Hyder

Menerusi Twitter, pemilik nama Ell Zain Hyder Zainuddin itu memuat naik rakaman video sedang menggesek biola (online busking) dan meninggalkan nombor akaun bank miliknya sekiranya ada yang mahu memberi sumbangan.

"Kongsikan (video) ini supaya saya dapat bantu bil perubatan Institut Jantung Negara (IJN) ayah," tulisnya.

"Jika ada reviu berbayar, kolaborasi atau apa sahaja kerja yang mahu ditawarkan, saya gembira untuk menerimanya.

"Anda juga boleh mengupah saya untuk membuat persembahan biola dalam apa jua acara," tambahnya lagi.

Dalam tweet berasingan, Endang berkata ia merupakan ikhtiar terakhir sebelum menjual biola miliknya.

"Saya mohon maaf kepada Datuk Adnan dan Datuk Syed yang sebelum ini membeli biola saya dan memberinya semula kepada saya.

"Saya melakukan ini untuk membantu ayah," ujarnya lagi.

Untuk rekod, Endang pada tahun 2020 pernah tular apabila dia terpaksa menjual biola demi membayar bil perubatan bapanya, Zainuddin Mohd Ottok, 72, yang kehilangan kedua-dua belah kaki akibat diabetis.

Endang yang juga ibu tunggal kepada tiga cahaya mata mula bermain biola sejak berusia 10 tahun.

Selain Twitter, Endang juga ada berkongsi video gesekan biola menerusi platform YouTube.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain