suria

Anwar Ibrahim ubah fikiran, kini sokong pengeluaran KWSP

Datuk Seri Anwar Ibrahim

DATUK Seri Anwar Ibrahim yang dahulunya tidak mendukung pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kini menggesa ia disegerakan tanpa kerenah birokrasi.

Tegas ketua pembangkang itu, desakan itu dilakukan sejajar keluhan rakyat yang kini berada dalam keadaan terdesak dan tertekan.

ARTIKEL BERKAITAN: KWSP isytihar dividen simpanan konvensional 6.1 peratus, syariah 5.65 peratus

Malah, beliau menyifatkan, tindakan itu wajar kerana mendakwa kerajaan Persekutuan gagal menampung kerugian yang dialami rakyat akibat banjir.

"Setelah kita melihat bahawa kerajaan seolah tidak ada jalan untuk merungkai kegagalan ini, saya kini mendukung agar pengeluaran dibenarkan sesegera mungkin dan tanpa ada apa-apa halangan dan kerenah birokrasi.

"Kerajaan juga mesti ambil kira nasib golongan rakyat yang tidak mencarum," ujarnya dalam kenyataan pada Rabu.

Menjelaskan kenapa pendiriannya berubah, ujar Anwar, ia disebabkan keluhan rakyat yang didengarinya terutama dalam siri jelajahnya di Johor yang berlangsung ketika ini.

"Saya ambil maklum bahawa terdapat desakan di kalangan rakyat yang mahukan pengeluaran KWSP dibenarkan oleh kerajaan.

"Seperti yang saya pernah kemukakan soal ini tahun lalu di Dewan Rakyat, saya agak keberatan untuk mendukung langkah ini kerana ia pasti memberi kesan kepada simpanan mereka di masa hadapan meski saya tahu pendirian ini sangat tidak popular dalam kalangan rakyat.

"Saya turut meletakkan syarat kepada kerajaan saat itu untuk menampung kerugian yang dialami rakyat akibat banjir sekiranya kerajaan enggan untuk membenarkan pengeluaran KWSP.

"Namun, setelah berbulan berlalu, nampaknya kerajaan dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul (Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) tidak mempedulikan desakan ini. Bilangan rakyat yang mengeluh kepada saya terus meningkat," katanya.

Pada sidang khas Parlimen 20 Januari lalu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dikatakan bersetuju dengan pendirian kerajaan untuk tidak membenarkan pengeluaran baharu daripada KWSP memandangkan keputusan itu bakal menjejaskan kelestarian kewangan pencarum menjelang usia persaraan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak patut terus 'berpeluk tubuh' terhadap keluhan mangsa banjir yang ingin mengeluarkan dana persaraan bagi memperbaiki kerosakan kediaman, kenderaan dan harta benda rentetan banjir luar biasa, penghujung tahun lalu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain