suria

Bagaikan igauan ngeri... penduduk tak lena tidur bimbang insiden tanah runtuh berulang

Keadaan tanah runtuh di bahagian belakang rumah penduduk di Jalan Taman Permai 1.

KEJADIAN tanah runtuh ibarat igauan ngeri buat penduduk di Taman Bukit Permai, Ampang sehingga mereka trauma dan bimbang sekiranya insiden berulang.

Ini terutama penduduk di Jalan Bukit Permai 1, yang bimbang terhadap keselamatan mereka berikutan jarak runtuhan tanah di Taman Bukit Permai 2, Khamis lalu hanya kira-kira 50 meter dari bahagian belakang rumah dan dipercayai masih tidak stabil.

Malah mereka memaklumkan tidak dapat tidur lena sejak malam kejadian terutamanya apabila hujan lebat melanda di kawasan perumahan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi tanah runtuh: Identiti mangsa terkorban dikenal pasti

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang selamat, 3 masih tertimbus... 15 rumah rosak akibat tanah runtuh di Taman Bukit Permai

Antara yang meluahkan kebimbangan itu ialah seorang penduduk, Mohd Faizal Mahbub, 38, yang turut mendakwa, mereka juga belum menerima sebarang arahan rasmi untuk berpindah ke tempat lebih selamat.

Namun, menurutnya, pemantauan giat dilakukan pihak berkuasa berkaitan di bahagian belakang rumah penduduk termasuk pengawasan daripada pihak polis demi faktor keselamatan.

"Setakat ini kami masih belum diarah untuk berpindah ke mana-mana tetapi kalau diarahkan kami berharap dapat berpindah ke kawasan berdekatan bagi melancarkan rutin harian kami.

"Kami hanya mampu berdoa agar tiada perkara buruk berlaku lagi terdekat ini selain berharap agar kerja-kerja pembaikan dapat segera selesai," katanya kepada Sinar Harian di Ampang, Sabtu.

Terdapat lebih kurang 10 buah rumah di Jalan Bukit Permai 1 berisiko 'ditelan bumi' kerana terletak di atas bukit selepas tanah itu runtuh melanda Taman Bukit Permai 2 di kaki bukit berkenaan.

tanah runtuh 1

Mohd Faizal (kanan) bersama Mokhtar datang melihat keadaan tanah runtuh di bahagian belakang rumahnya di Jalan Taman Permai 1.

Sementara itu, jirannya, Jamaludin Mat Husin, 39, turut sependapat bahawa kerja-kerja pembaikan perlu disegerakan malah sanggup berpindah jika diminta untuk berbuat demikian terdekat ini.

"Saya tak dapat tidur dengan lena tambah pula apabila teringat bunyi rekahan tanah pada tengah malam semalam, bimbang kalau runtuhan tanah ini berulang semula," kata kakitangan kerajaan itu.

Dua lagi penduduk, Mokhtar Husin, 57, dan Mohd Fadzil Ismail, 42, berharap pihak berkuasa tempatan dapat segera menangani perkara itu demi keselamatan penduduk memandangkan keadaan cuaca sekarang tidak menentu.

Pada Khamis, kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menjejaskan 15 rumah serta 10 kenderaan.

Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan kira-kira pukul 2 pagi pada Jumaat selepas Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak mengesahkan penemuan mayat mangsa keempat dan kelima pada 12.46 tengah malam dan 1.59 pagi. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berikut

Artikel Lain